Tiada penjawat awam di Pulau Pinang terlibat rasuah sepanjang 2023

Kon Yeow (dua dari kiri) dan Rosli (kiri) membaca ikrar pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam 2024 di Komtar, pada Selasa.
Kon Yeow (dua dari kiri) dan Rosli (kiri) membaca ikrar pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam 2024 di Komtar, pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiada kakitangan Kerajaan Pulau Pinang diambil tindakan berhubung salah laku berkaitan rasuah sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa berkata, berdasarkan rekod, tiada sebarang kes berkaitan rasuah melibatkan kakitangan kerajaan negeri sepanjang tahun 2023.

"Tiada kes melibatkan rasuah maka tiada tindakan yang diambil terhadap kakitangan kerajaan negeri. Tuduhan memang ada tetapi tiada kes yang disabitkan.

"Kita sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya berpesan kepada semua penjawat awam Pulau Pinang agar kita perlu bekerja kuat, telus dan ikhlas selain tidak akan melakukan sebarang penyelewengan serta salah guna kuasa.

"Itu lah sebahagian janji kita kepada Kerajaan Pulau Pinang dan seluruh rakyat kerana penjawat awam perlu menjaga imej dan integriti yang tinggi kerana ia merupakan satu amanah," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu, beliau mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hadir ke Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam 2024 di Komtar, di sini.

Tambah beliau, perkara itu satu pencapaian yang baik dari segi rekod bagi Pulau Pinang.

"Laporan Audit Negara pun menyatakan Pulau Pinang adalah antara negeri terbaik yang tidak mempunyai sebarang rekod melibatkan rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kon Yeow berkata, menjadi kewajipan undang-undang, semua kakitangan perlu memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya ada sebarang aduan berkenaan kegiatan rasuah.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, Kon Yeow tahun lalu, Visi Penang2030 mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus dengan 210 projek dan program.

Kata Kon Yeow, beliau yakin, pada tahun ini, dengan kerjasama serta komitmen daripada semua, kita akan mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi dalam usaha untuk merealisasikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

"Kerajaan Pulau Pinang sedang memfokuskan pada lapan bidang keutamaan untuk lima tahun akan datang.

"Antaranya termasuk peluang pekerjaan, pembangunan jaringan ekosistem,ketersambungan jaringan pengangkutan dan penambahbaikan aliran trafik, strategi mengatasi isu perubahan iklim, pembekalan air, pembangunan komuniti termasuk belia, wanita, dan warga emas, TBB atau 'energy transition' serta sumber pendapatan baharu di samping pelaksanaan projek-projek mega infrastruktur," katanya.