15,506 kes disiplin pelajar direkodkan di Kinta Utara
IPOH - Sebanyak 15,506 kes kesalahan berkaitan disiplin murid direkodkan berlaku di daerah Kinta Utara, sepanjang tahun lalu.
Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Hasni Hasshim berkata, data diperoleh daripada Sistem Sahsiah dan Disiplin Murid (SSDM) itu turut menunjukkan 76.67 peratus atau 11,890 kes daripada jumlah berkenaan merupakan kesalahan ponteng sekolah.
"Ianya melibatkan 6,279 murid atas kesalahan ponteng, bagaimanapun jumlah ini lebih rendah berbanding 10,883 murid tahun sebelumnya.
"Pada 2018, sebanyak 34,215 kes disiplin murid direkodkan dengan 71.86 peratus atau 24,588 kes adalah kesalahan ponteng sekolah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jom ke Sekolah 2020 peringkat daerah Kinta Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.
Hasni berkata, program jom sekolah yang digerakkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah banyak membantu mencegah salah laku disiplin murid terlibat dalam kegiatan jenayah sama ada di dalam atau luar sekolah.
Menurutnya, ia juga secara tidak langsung dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah.
"Pada tahun lalu, kita menyasarkan 94.05 peratus bagi pencapaian kehadiran murid, namun yang diperoleh hanya 92.53 peratus.
"Usaha lebih kuat dan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan gejala displin dan isu ponteng dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berharap, pegawai perhubungan sekolah yang menjadi sumber rujukan pihak sekolah berkaitan undang-undang dan salah laku disiplin dapat mengadakan kunjungan lebih kerap terutama semasa perhimpunan pagi untuk memberi nasihat kepada pelajar.
"Pentadbir sekolah pula harus berupaya menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan memberi inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan seronok untuk belajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!