'Ingatkan biasa-biasa tapi bila dah masuk memang luar biasa' - Pengunjung

Rumah hantu menjadi pilihan pengunjung pada Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN
Rumah hantu menjadi pilihan pengunjung pada Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung Festival Seram Buku Prima akui seronok dengan pelbagai aktiviti yang disediakan terutama rumah hantu yang disifatkan luar biasa.

Kerani, Azlan Johari, 42, berkata, dia datang bersama ahli keluarganya untuk menikmati aktiviti yang disediakan dan mendapati ia diadakan dalam suasana santai serta menarik untuk berhibur pada hujung minggu.

Azlan
Azlan

Malah menurutnya, sambutan hari kedua festival itu dilihat sangat memberangsangkan apabila orang ramai sudah mula memenuhi pekarangan sejak awal pagi.

“Semua permainan saya dan keluarga dah cuba, yang paling seronok apabila masuk ke dalam rumah hantu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.

Sementara itu, juruteknik, Azmi Md Shah, 44, mengakui program sebegini patut diadakan pada masa akan datang memandangkan pengunjung tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang festival berkenaan berlangsung.

Azmi
Azmi

Tambahnya, meskipun mengetahui penganjuran tersebut pada saat akhir, dia dan anak-anak tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba segala tarikan yang ada selain rumah hantu seperti permainan ‘werewolf’, memanah serta lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya pertama kali ke sini bawa anak-anak selepas baca papan tanda iklan di tepi jalan dan terus datang ke sini.

“Program sebegini memang patut diadakan pada masa hadapan dengan promosi yang lebih hebat di media sosial supaya pengunjung lebih ramai lagi,” ujarnya.

Zarith Sofea Razlan, 26, turut senada dengan pengunjung lain apabila mengakui kesemua aktiviti sepanjang festival berlangsung memang menarik dan tidak menjangka rumah hantu dengan bayaran RM10 itu sangat menyeramkan.

Zarith Sofea
Zarith Sofea

“Saya tak jangka yang hantu akan kejar pengunjung sebab pada mulanya saya fikir biasa-biasa saja, tetapi bila dah masuk memang luar biasa,” ulasnya.

Pelajar, Mohd Zarif Haikal Mohd Aliza, 16, memaklumkan, dia dan rakan-rakan berpuas hati dengan tarikan yang disediakan lebih-lebih lagi peralatan kesan khas serta penampilan watak hantu daripada filem tempatan dan luar negara yang diketengahkan.

Mohd Zarif Haikal
Mohd Zarif Haikal

“Memang seronok lah rumah hantu ini, saya boleh bagi 9/10 bintang, kalau ada buat lagi rumah hantu, kami akan datang lagi ke sini,” katanya lagi.

Festival Seram Buku Prima 2024 diadakan selama tiga hari di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula Jumaat hingga Ahad ini memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai suasana seram yang mendebarkan.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.