Sumandak selamba angkat tong gas pakai kasut tumit tinggi

Tular video sumandak Sabah mengangkat tong LPG dengan memakai kasut tumit tinggi.
Tular video sumandak Sabah mengangkat tong LPG dengan memakai kasut tumit tinggi.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gelagat seorang 'sumandak' (gadis) Sabah mengangkat tong gas petroleum cecair (LPG) menuruni tangga dengan memakai kasut bertumit tinggi menarik perhatian warganet apabila videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video berdurasi 19 saat di akaun TikTok gugu.m_ memaparkan gadis berasal dari Kota Kinabalu itu sedang mengangkat tong LPG dalam keadaan tidak stabil disebabkan kasut tinggi yang dipakainya dan juga tong gas yang berat.

Dalam sesi siaran langsung dalam akaun TikTok, gadis dikenali sebagai Gugu berkongsi mengenai cerita di sebalik video tular di mana ketika kejadian tersebut gas yang digunakan di rumah telah habis.

"Memang habis, memang mahu tukar gas yang baharu.

"Mana mungkin saya sengaja angkat tong gas yang berisi, memang kebetulan bapa saya mahu tukar gas.

"Ini perkara biasa, semua sumandak dapat angkat lagi pun tong gas itu kosong, ringan saja," katanya pada Sabtu.

Bagaimanapun, Gugu berkata, dia tidak menyangka videonya itu tular dan mendapat perhatian daripada pengguna maya.

"Saya pakai kasut tinggi ketika itu kerana mahu keluar untuk membeli belah, tetapi kebetulan bapa saya hubungi dan memaklumkan gas telah habis.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya berpatah balik ke rumah dan tanpa menukar selipar sebaliknya terus membawa tong gas tersebut turun melalui tangga.

"Sepatutnya saya sikut (gendong) saja tong gas tetapi banyak kerja jadi saya angkat sajalah.

"Saya pun tidak sangka juga viral (tular)," katanya.

Kongsinya lagi, dia merupakan anak pertama dalam keluarganya menyebabkan dia perlu belajar untuk membantu kedua ibu bapanya.

"Saya anak pertama kan, siapa lagi mahu tolong ibu bapa.

"Walaupun sebagai anak perempuan tetapi kalau anak pertama, kena jadi dua iaitu lelaki dan perempuan. Kita mesti belajar," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di bahagian komen menunjukkan ramai pemilik akaun meninggalkan komen bukan saja memuji kecantikan gadis Sabah tetapi turut berkebolehan mengangkat tong gas tersebut.

"Sumandak Sabah mana mahu cari. Semua lawa-lawa pandai angkat tong gas," katanya.

Wulan pula meninggalkan komen, tong gas yang diangkat oleh pemilik akaun tersebut kelihatan ringan.

"Dia angkat tong gas macam angkat piring nasi saja bah," katanya.

Sehingga kini, videonya itu mendapat 571 komen, 20,000 tanda suka, lebih 500,000 tontotan dan dikongsi oleh 376 pemilik akaun TikTok lain.