PN digesa henti buat kenyataan mahu tumbangkan kerajaan - UMNO Perlis

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - UMNO Perlis menggesa pembangkang menghentikan kenyataan berhubung gerakan mahu menumbangkan kerajaan yang dianggap sebagai perlakuan sabotaj sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

Pengerusinya, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, sekiranya Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah dan sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, mereka perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong serta institusi Parlimen secara tertutup dan mengambil alih pentadbiran negara secara terhormat.

"Jangan sabotaj ekonomi negara! Jangan aniaya rakyat!," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan dibuat Ketua Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung usaha menumbangkan kerajaan sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

Menurut Rozabil, kenyataan itu membawa pelbagai ketidaktentuan dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

"UMNO Perlis berpandangan kenyataan berulang-ulang sepanjang tahun oleh Sanusi dan pimpinan PN lain untuk menjatuhkan kerajaan adalah perlakuan jenayah serius yang membawa pelbagai ketidaktentuan dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

"Implikasi yang lebih besar adalah hilangnya keyakinan pelabur untuk membawa pelaburan masuk ke negara kita di sebalik pelbagai usaha pemulihan ekonomi dan nilai mata wang yang sedang digerakkan oleh kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan ini jelas menjurus kepada sabotaj ekonomi negara agar Kerajaan Perpaduan dilihat tidak efektif dalam mengendalikan proses pemulihan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Ada ketika, mereka (pimpinan PN) bercakap tentang pentingnya kerajaan menggandakan usaha pemulihan ekonomi namun dalam masa sama, mereka melakukan sabotaj kepada ekonomi yang beri kesan negatif secara berterusan kepada nilai mata wang selain risiko peningkatan kadar inflasi dan tekanan terhadap kuasa beli rakyat.

"Ringkasnya, segala tindak tanduk pimpinan PN dalam perkara ini amat tidak bertanggungjawab dan membawa tekanan kesusahan kepada rakyat Malaysia," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang mengesahkan bahawa wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan ketika ini.