Polis buru kumpulan lelaki samun warga asing di rumah kongsi

Hazri
Hazri
A
A
A

REMBAU - Polis giat memburu kumpulan lelaki yang menyamun warga asing di rumah kongsi dalam dua kejadian berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1.40 pagi pada Rabu lalu di Kampung Senama Tengah di sini.

Menurutnya, ia membabitkan kerugian wang tunai sebanyak RM1,000, lima telefon bimbit berlainan jenama dan dua pasport warga Bangladesh.

"Kes pertama, mangsa iaitu lelaki Bangladesh berusia 35 tahun membuat laporan di Balai Polis Rembau mengatakan semasa sedang tidur dengan lima rakan senegara di rumah kongsi berkenaan telah didatangi empat lelaki yang menutup muka menggunakan baju.

"Mereka telah dikejutkan dari tidur dan ingin menjerit, tetapi telah diketuk menggunakan besi dan kayu di bahagian kepala serta kaki oleh empat lelaki tersebut yang menyuruh mereka diam sebelum disamun," katanya pada Jumaat.

Ujarnya, kejadian berlaku kira-kira empat minit sahaja sebelum kumpulan penyamun berkenaan melarikan diri ke semak berhampiran.

"Dalam kejadian kedua pula berlaku pada jam 2 pagi Khamis di rumah kongsi Jalan Mampong, melibatkan kerugian antaranya wang tunai sebanyak RM5,000, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, pasport dan 'hand drill'.

"Suspek turut menggunakan modus operandi serupa iaitu menyamun dengan muka bertutup memasuki rumah kongsi pada awal pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek didakwa memukul buruh binaan juga warga Bangladesh dan meminta mereka mengeluarkan semua barang berharga.

"Kes ini seterusnya disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian O6-685199 bagi membantu siasatan," katanya.