Warga emas maut ditikam: Jiran terdengar orang minta tolong

Dua lelaki direman tujuh hari bermula Jumaat.
Dua lelaki direman tujuh hari bermula Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Jiran kepada warga emas yang ditemui maut dengan kesan tikaman dalam kejadian di Kampung Pasir, Rantau, di sini pada Khamis memberitahu terdengar jeritan meminta tolong pada tengah malam sebelumnya.

Jiran berusia 35 itu berkata, bapanya terdengar jeritan itu, bagaimanapun tidak berani memeriksa rumah berkenaan kerana sudah tengah malam selain mengalami masalah kabur penglihatan.

"Pagi sebaik balik dari kerja, saya segera ke rumah mangsa untuk melihat keadaannya selepas bapa menceritakan mengenai perkara itu.

"Apabila pintu rumahnya dibuka, saya ternampak lelaki itu dalam keadaan terbaring dan terdapat darah pada bahagian kaki sebelum ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 11 Januari depan.

"Permohonan reman dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Seremban sebelum dibenarkan reman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan soal siasat akan dijalankan sejurus permohonan reman dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Masih terlalu awal untuk mengetahui motif kejadian. Kami akan jalankan soal siasat terhadap kedua-dua suspek bagi mendapatkan punca dan motif kejadian ini," katanya.

Media pada Khamis melaporkan lelaki warga emas berusia 74 tahun ditemui maut dengan kesan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua-dua belah buku lali di rumahnya kira-kira jam 10 pagi.

Berikutan itu, polis menahan dua beradik lelaki masing-masing berusia 18 dan 25 tahun berdekatan tempat kejadian serta balai polis bagi membantu siasatan, pada petang Khamis.