Arif impi podium Kejohanan Dunia Karate

Arif memasang impian untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia. Foto Agensi
Arif memasang impian untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia. Foto Agensi
A
A
A

ATLET karate negara, Arif Afifuddin Ab Malik mula mencongak impian untuk menaiki podium dalam Kejohanan Dunia Karate yang dijadual berlangsung di Mesir tahun depan.

Kejohanan di Cairo tersebut bakal menjadi pentas ketiga buat buat atlet berusia 25 tahun itu selepas meraih pengalaman berharga pada dua pertandingan lalu.

Arif berkata, pada dua kejohanan lalu aksinya tidak sampai ke saingan akhir sebaliknya tersekat pada peringkat awal.

“Ada masuk kejohanan (dunia) dua kali sebelum ini, tetapi tidak lepas untuk ke peringkat separuh akhir mahupun final.

“Jadi, paling tidak pun saya mahu buktikan kali ini dapat meraih pingat untuk tahun 2025 nanti,” katanya menerusi sesi khas Sembang Sukan Siri 35 oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Penyertaan kali pertama atlet dari Pulau Pinang itu pada Kejohanan Dunia Karate ialah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November 2011.

Beliau kemudian membuat penampilan kedua pada Kejohanan Dunia di Budapest Oktober lepas.

“Saya melihat standard atlet yang menyertai kejohanan itu tidak jauh beza, cuma mungkin beberapa kesilapan seperti taktik dan teknik yang membezakan mereka untuk muncul pemenang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arif yang merupakan alumni dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan turut mengimbas cabaran semasa bergelar pelajar atlet.

Beliau mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengimbangi antara tuntutan sebagai seorang pelajar dan atlet negara, namun meluahkan rasa gembira kesemua itu mampu dilalui dengan baik.

Tambahnya, kelebihan yang diperoleh adalah mendapat jurulatih, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dari Mesir yang memahami peranannya sebagai pelajar dan membantu untuk mengubah jadual latihan supaya menjadi lebih fleksibel.

“Jurulatih banyak membantu saya daripada segi fleksibiliti dalam jadual belajar. Aspek latihan pula, banyak benda kecil daripada segi teknik yang saya tidak nampak, dia akan ajar dan tunjuk.

“Beliau juga banyak menerapkan beberapa perkara atau ilmu seperti – perlu banyak kacau pihak lawan, kena banyak bersedia sebelum pergi dan jangan terus serang lawan” ujarnya.

Hasil 'air tangan' Tamer yang dilantik untuk memperkuat skuad karate negara sejak Januari 2023, Arif meraih satu pingat emas dalam acara kumite lelaki bawah 85 kilogram pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China tahun lalu.