Skuad remaja elak tekanan Kejohanan Dunia di AS

A'Amar. - Foto Agensi
A'Amar. - Foto Agensi
A
A
A

SKUAD badminton remaja negara selesa tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

Pengurus Pasukan, A'Amar Hashim enggan para pemain berasa tertekan sebaliknya menanam tekad untuk memberikan aksi terbaik untuk memburu kejayaan.

Beliau berkata, para pemain begitu bersemangat dan sudah bersedia untuk merebut tempat dalam skuad menjelang pengumuman senarai pasukan awal bulan depan.

“Saya ada berjumpa mereka. Semua dalam keadaan baik. Semangat mereka juga berkobar-kobar untuk memberikan yang terbaik.

“Tidak perlu berasa tertekan, enjoy the game. Kita hadir sebagai underdog.

“Bagaimanapun secara peribadi saya mahu pasukan ini naik podium. Itu sasaran saya,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sesi latihan dikendalikan oleh jurulatih perseorangan remaja negara, Mohd Hazwan Jamaluddin bersama dua rakan sejawat, Misbun Ramdan Misbun dan Goh Giap Chin.

Ia susulan ketiadaan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek yang berpisah secara baik dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

A'Amar berkata, sesi latihan skuad remaja bersama para pemain senior memberi impak positif kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan teknik permainan yang baik.

“Sesi latihan berjalan seperti biasa menjelang pemilihan pemain yang akan dibawa ke kejohanan tersebut.

“Para pemain perlu buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka boleh berjaya,” katanya.

Kejohanan Remaja Dunia 2023 dijadualkan berlangsung di Spokane, Washington dari 25 September hingga 8 Oktober depan.

Undian yang dijalankan pada minggu lalu menyaksikan skuad campuran negara yang juga pilihan ketiga kejohanan diletakkan dalam Kumpulan C bersama England, Latvia dan Poland.

Hanya juara kumpulan layak ke suku akhir.

Malaysia gagal ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tangga kesembilan selepas menumpaskan Denmark 4-1.

Lebih menyedihkan apabila buat kali pertama tiada pemain negara layak ke suku akhir dalam acara perseorangan.