RM600,000 kos baiki sementara paip bocor dasar sungai

Hanafiah (kanan) melawat lokasi berlaku masalah bekalan air dekat Jambatan Kampung Lampu, di Besut. Foto Facebook Hanafiah
Hanafiah (kanan) melawat lokasi berlaku masalah bekalan air dekat Jambatan Kampung Lampu, di Besut. Foto Facebook Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi kerja-kerja pembaikan sementara masalah paip air bocor yang berlaku di dasar sungai dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut sejak minggu lalu.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu sebagai penyelesaian jangka pendek terhadap masalah bekalan air yang melibatkan penduduk di sekitar kawasan itu ketika ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan itu akan menggunakan paip HDPE (high-density polyethylene) bersaiz 450 milimeter (mm) sepanjang 700 meter di jambatan tersebut.

"Kita kini dalam proses lantikan kontraktor secara terus serta pembelian paip sedang dibuat hasil perbincangan bersama Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

"Perunding panel SATU juga sedang dalam proses menyiapkan reka bentuk kerja-kerja membaiki paip sementara itu yang dijangka siap pada 20 Januari depan,"katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, sebelum ini Jabatan Bekalan Air pernah dilaporkan berhubung kerosakan paip air itu untuk pemasangan baharu tahun 2024.

Katanya, kerja-kerja baik pulih paip yang pecah di dasar sungai akan tetap dilakukan bagi penyelesaian jangka panjang.

"Buat masa ini kita tertumpu kepada penyelesaian jangka pendek di mana kerja-kerja pembaikan agak sukar dibuat kerana lokasinya berhampiran dengan tebing sungai dan berlaku air pasang akibat hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita harap penduduk yang terjejas dapat bersabar untuk sementara waktu sehingga masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin," ujar beliau.

Insiden paip pecah yang berlaku di dasar Sungai Besut sejak Khamis lalu menjejaskan sebanyak 5,028 akaun melibatkan dua buah tangki utama iaitu Tangki Kampung Raja sebanyak 2,358 akaun dan Tangki Bukit Kluang (2,670 akaun).

Sebagai inisiatif, penduduk di kawasan terjejas terpaksa mendapatkan bekalan air dari enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik yang disediakan SATU.