Kedah umum 25 Januari cuti peristiwa sempena Thaipusam

Kedah meluluskan pemberian cuti peristiwa pada 25 Januari ini bersempena sambutan Thaipusam. (Gambar hiasan) Foto Bernama
Kedah meluluskan pemberian cuti peristiwa pada 25 Januari ini bersempena sambutan Thaipusam. (Gambar hiasan) Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah meluluskan pemberian cuti peristiwa pada 25 Januari ini bersempena sambutan Thaipusam.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Exco pada hari ini.

"Tahun lepas pun bagi (cuti), tahun ini pun bagi dan kita umumkan lebih awal...bolehlah penganut Hindu di negeri ini bercuti dan orang lain juga boleh bercuti," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa ‘The Greater Kedah’ sebagai badan untuk menyediakan laporan pencapaian kerajaan negeri secara tahunan atau suku tahun.

"Jawatankuasa The Greater Kedah akan mengurus dan menyatukan data semua aktiviti kerajaan serta anak syarikat yang akan sediakan laporan tahunan atau suku tahun untuk kita maklumkan kepada orang ramai tentang pencapaian semasa (kerajaan negeri) dalam semua sektor.

"Sebelum ini ia (data) berselerak, ada di sektor industri, sukan, pendidikan. Lepas ini semua data dikumpul akan dianalisis, dibuat sektor-sektor yang memberi penekanan kepada usaha mencapai The Greater Kedah," katanya.

Menurut Sanusi, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, selain turut dianggotai pakar dalam pelbagai bidang yang bakal dilantik sebagai ahli jawatankuasa dan pegawai. - Bernama

Artikel Berkaitan: