Tujuh tahun terpisah, keluarga kandung kanak-kanak dicari

Rizami dan Rohana kini membesarkan Annur Puteri Syakila sejak diserahkan oleh ibu bapa kandung pada 2017. Foto JKM
Rizami dan Rohana kini membesarkan Annur Puteri Syakila sejak diserahkan oleh ibu bapa kandung pada 2017. Foto JKM
A
A
A

BALING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling sedang mengesan ibu bapa kandung seorang kanak-kanak perempuan yang kini dalam jagaan keluarga angkat sejak tujuh tahun lalu.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Mohd Nur Helmi Ramli berkata, mangsa dikenali sebagai Annur Puteri Syakila, 7, yang dipercayai anak kandung kepada pasangan warga Indonesia.

Menurutnya, kedua ibu bapa kandung hanya dikenali sebagai Anuar dan Dwi Astuti tanpa sebarang maklumat pengenalan diri.

"Saya difahamkan, Annur Puteri Syakila diserahkan oleh ibu bapa kandungnya kepada penjaga, Rizami Mohd Saad, 42, dan isteri, Rohana Hashim,40, dari Kampung Kepala Titi, Sedim, Kedah tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sejak tahun 2017.

"Dia diserahkan oleh pasangan warga Indonesia itu ketika berusia tiga bulan di Rumah Kongsi Tapak Perumahan Pulau Tikus dengan alasan tidak mampu membesarkannya kerana hanya berpendapatan sebagai pekerja kontrak," katanya.

Bagaimanapun, hasil carian di merata tempat gagal menemui kedua ibu bapa kandung tersebut bagi tujuan mendapatkan maklumat peribadi Annur Puteri Syakila.

Berikutan itu, laporan polis juga telah dibuat oleh pihak penjaga.

Mohd Nur Helmi berkata, permohonan pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-kanak 2001 telah diluluskan untuk siaran media.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, waris atau orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi JKM Baling di talian 04-4700900.