Bapa kandung, ibu tiri dipenjara dua tahun aniaya anak

Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, pada Khamis atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak serta anak tiri mereka sendiri.
Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, pada Khamis atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak serta anak tiri mereka sendiri.
A
A
A

KUALA PILAH - Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya seorang anak lelaki mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh masing-masing berumur 27 dan 31 itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 80 jam.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh bersama-sama sebagai orang yang mempunyai jagaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara Mac hingga 12 September lepas, antara jam 8 pagi hingga 12 malam di sebuah rumah di Rumah Rakyat Jambu Lapan,Bahau.

Sehubungan itu, tertuduh telah melalukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen berkenaan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali,jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tertuduh lelaki dalam rayuannya mengakui kesilapan yang telah dibuat dan menerima hukuman yang bakal diberikan oleh hakim.

"Saya harap puan hakim ringankan hukuman. Saya masih ada tiga orang anak yang masih kecil dekat luar, saya minta maaf, saya tahu memang saya betul-betul bersalah menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik untuk keluarga saya.

"Saya minta maaf pada semua pihak atas kesilapan saya," katanya.

Sementara itu, tertuduh wanita pula dalam rayuannya turut memohon mahkamah meringankan hukumannya susulan mempunyai tiga orang anak masih kecil yang memerlukannya.

Fong Xi kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kecederaan terhadap kanak-kanak itu diseluruh badannya.

"Kedua-dua tertuduh merupakan bapa kandung dan ibu tiri sepatutnya menjaga kanak-kanak itu dengan baik bukannya memukul.

"Kanak-kanak itu hanya enam tahun, disebabkan sering dipukul (dia) melarikan diri. Jadi pihak pendakwaan memohon hukuman berat terhadap kedua-duanya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki melarikan dari rumahnya setelah tidak tahan didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya.

Terdapat kesan luka pada bahagian badan mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.