Pengakhiran ekonomi politik 2019

A
A
A

TAHUN baru 2020 menjelang tiba. Jutaan rakyat Malaysia sama ada petani, nelayan, pekebun, kakitangan kerajaan, peniaga, usahawan, sama ada perusahaan kecil mahu pun sederhana, dalam kelompok B40 dan juga M40 membuat persiapan kewangan menjelang ketibaan tahun baru.

Ramai antara kita sebagai ibu bapa pastinya mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak. Tidak kurang juga dengan ratusan ribu anak-anak kita lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang pastinya sedang berkira-kira untuk melanjutkan pengajian tinggi tahun depan.

Malangnya, tahun 2020 yang diharapkan hadir dengan 1,001 kebaikan buat rakyat sebaliknya tiba dengan 1,001 cabaran yang besar buat seluruh rakyat Malaysia.

Sejak berdekad yang lalu, kita membayangkan fajar Januari 2020 disambut dalam keadaan ekonomi kondusif kepada keadilan sosial, dan cakna kepada golongan mustadhafin, peka kepada keperluan peluang pendidikan dan pekerjaan yang adil, peka kepada pendapatan rakyat dan juga peka dengan keperluan perumahan mampu milik rakyat. Cakna kepada kelas menengah, belia, dan tidak lagi mengutamakan kroni-kroni kaya tertentu sahaja.

Sebaliknya, tahun baru 2020 disambut dengan kemungkinan kenaikan harga minyak setiap minggu yang buat masa ini ditangguh dengan alasan ingin memberi ‘penjelasan dan kefahaman kepada rakyat’ terlebih dahulu.

Bermakna tahun baru ini disambut dengan kenaikan inflasi, bukannya kenaikan pendapatan boleh guna rakyat. Tahun baru disambut dengan kenaikan tarif elektrik yang membebankan sesetengah sektor, kenaikan tarif air dan tamatnya Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diganti rumah murah untuk warga asing.

Semua itu menimbulkan satu persoalan besar. Adakah semua itu membuktikan dasar ekonomi politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini lebih mengutamakan kepentingan tauke-tauke dan taikun-taikun kaya berbanding nasib rakyat secara keseluruhannya?

Ramai pakar ekonomi mempersoalkan tindakan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) satu rejim percukaian yang komprehensif dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang kurang telus dan jelas memberi kelebihan kepada tauke-tauke kaya untuk memanipulasinya.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu bahkan mengakibatkan pengurangan pendapatan dan bukan sahaja memaksa kerajaan untuk meningkatkan kebergantungan kepada hasil Petronas, sebaliknya turut mengimpak pendapatan boleh guna rakyat. Rakyat dipaksa membayar harga minyak yang dinaikkan setiap minggu. Rakyat dipaksa membayar cukai soda, dipaksa membayar cukai digital dan dipaksa membayar levi pelepasan.

Anak muda di universiti awam dan swasta pula tidak lagi berpeluang untuk mendapat biasiswa kecemerlangan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti mana ketika era Barisan Nasional (BN) dahulu. Tiada lagi biasiswa MyBrain untuk penuntut Sarjana dan PhD. Lebih malang lagi, anak-anak Felda yang cemerlang tidak lagi diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sedangkan aset Felda seperti FGV sedang rancak dirancang untuk dijual.

Murid sekolah luar bandar di Sarawak bahkan seolah-olah dianaktirikan semata-mata kerana kerajaan negeri tidak dikuasai parti PH. Sektor pendidikan kita jelas terkesan.

Itu belum lagi kita bicarakan soal puluhan bilion penjualan aset-aset negara oleh PH yang belum berganti dengan mana-mana pelaburan atau pembelian aset baru yang berkredibel sedangkan kesemua aset tersebut sepatutnya boleh memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan negara bangsa kita ini.

Lalu tidak menghairankan apabila ramai yang membandingkan situasi sekarang dengan era BN sebelum ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu dianggap berjaya turunkan harga elektrik, memecahkan monopoli IPP swasta dan lonjakkan saham TNB.

Beliau berjaya kurangkan kebergantungan negara kepada hasil petroleum sekali gus menggandakan pendapatan Petronas. Beliau menggandakan nilai aset-aset Khazanah. Beliau perkenalkan biasiswa MyBrain untuk mahasiswa Sarjana dan PhD. Perkenalkan baucar buku 1Malaysia. Perkenalkan UTC untuk rakyat di bandar, RTC untuk kemudahan rakyat di luar bandar. Inisiatif Q-Fish untuk melonjakkan pendapatan nelayan di musim monsun. Perkenalkan Klinik Rakyat 1Malaysia. Beliau perkasakan infrastruktur rakyat infra-rakyat seperti MRT2, MRT3, HSR, ECRL.

Semoga kehadiran fajar Januari 2020 menjadi permulaan buat kerajaan Pakatan untuk melonjakkan semula dasar ekonomi politik buat kesejahteraan rakyat.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)