Hayati prinsip Rukun Negara

Sultan Muhammad V
A
A

TINDAKAN Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ternyata satu kejutan buat rakyat di seluruh negara.

Pelbagai spekulasi berlegar, bermain di fikiran mereka. Sehingga sekarang teka-teki masih belum terjawab.

Rakyat tertanya-tanya kerana ini pertama kali berlaku seorang Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan.

Dua tiga hari sebelum kejadian, rakyat sudah mula bercakap-cakap berikutan tular di media sosial bahwa Sultan Muhammad V akan letak jawatan.

Pelbagai andaian yang dibuat. Spekulasi bermula apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Majlis Raja-Raja bermesyuarat selepas Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, menamatkan tugas baginda pada 31 Disember lalu.

Pada 24 November, media luar negara menyiarkan gambar perkahwinan Sultan Muhammad V di luar negara. Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi daripada istana mengenai perkara itu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan Sultan Muhammad V akan melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun petang Ahad, spekulasi Agong letak jawatan bertukar daripada gosip kepada realiti.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, baginda telah menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan keputusan baginda untuk turun daripada takhta.

Tamat satu spekulasi, timbul pula spekulasi yang lain. Kenapa Sultan Muhammad V letak jawatan? Rakyat mula membuat pelbagai andaian. Timbul ramai 'pak nujum' yang kononnya serba tahu yang meramalkan macam-macam perkara tetapi semuanya sekadar cakap-cakap yang tidak boleh digunapakai.

ALLAH SWT berfirman dalam Sural al-Hujurat yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) ALLAH dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Sebagai rakyat, kita mempunyai hak untuk bercakap. Kita mempunyai hak untuk membuat komen tetapi janganlah sampai menghina.

Perbuatan seorang lelaki menghina baginda di Facebook ternyata menimbulkan kemarahan ramai. Walaupun individu terlibat sudah memohon maaf, tidak semestinya kes itu ditutup begitu sahaja.

Apakah hukumnya menghina raja (lese majeste) kalau di Thailand? Mahkamah Tentera negara itu pernah menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas seorang lelaki.

Di Riyadh, seorang yang menghina raja boleh dianggap sebagai pengganas. Di Kuwait, seorang lelaki dihukum penjara dan dibuang negeri kerana komen di Twitter.

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.

Tersilap komen di media sosial, 'print screen' menjadi buktinya. Permohonan maaf sahaja tidak memadai.

Perlu ada tindakan tegas agar individu terbabit tahu kesan akibat kebiadabannya. Perlu ada tindakan sewajarnya kepada pihak lain supaya jangan cuba menjolok sarang tebuan.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, pihak berkuasa perlu bertindak segera.

Ini kerana kes melibatkan institusi diraja, Jalur Gemilang, Negaraku dan bahasa Malaysia adalah antara lambang negara dipandang tinggi serta dilindungi perlembagaan dan undang-undang.

Persoalan yang perlu sama-sama kita fikirkan, kenapakah selepas menjadi negara berdaulat selama lebih 60 tahun, lambang negara ini masih tidak dihormati oleh sesetengah rakyat Malaysia?

Kita perlu kembali kepada Rukun Negara iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.

Setiap matlamat dan prinsip Rukun Negara mempunyai maksud tersirat yang harus difahami dan dipraktikkan oleh setiap masyarakat di Malaysia.

Ternyata generasi hari ini semakin kurang penghayatan terhadap Rukun Negara.

Kerana itu ada yang berani meninggalkan komen jelik dan menghina di media sosial. Ini amat membimbangkan.