Skuad sukarelawan khas Puteri UMNO bakal dibentuk

Nurul Amal (dua dari kanan) bersama sukarelawan Puteri UMNO membersihkan dewan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kampung Pengkalan Ajal.
Nurul Amal (dua dari kanan) bersama sukarelawan Puteri UMNO membersihkan dewan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kampung Pengkalan Ajal.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Puteri UMNO akan mewujudkan skuad sukarelawan khas di setiap negeri bagi membantu mangsa yang terkesan bencana.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, penubuhan pasukan tersebut membolehkan persiapan dan bantuan dapat disalurkan segera terutama ketika musibah seperti banjir di sesuatu kawasan.

"Dengan penubuhan skuad ini kita sudah ada sukarelawan di setiap negeri untuk bantu jika berlaku bencana alam tidak disangka.

"Sebelum ini kita (Puteri UMNO) tidak ada skuad khas bencana dan kita gerakkan sukarelawan ke sesuatu tempat bencana mengikut situasi.

"Sekarang ni saya dalam proses menghidupkan sukarelawan setiap negeri melibatkan Puteri UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pembersihan Pasca Banjir Puteri UMNO Malaysia di Pengkalan Ajal, dekat sini Selasa.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, ketika ini kira-kira 300,000 ahli Puteri UMNO di seluruh negara yang boleh digerakkan sebagai anggota skuad atau sukarelawan di setiap negeri.

Terdahulu, seramai 150 sukarelawan Puteri UMNO dari seluruh Terengganu terlibat dalam operasi pembersihan di beberapa lokasi di Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Nurul Amal turut bersama sukarelawan Puteri UMNO membersihkan dewan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kampung Pengkalan Ajal, di sini pada Selasa.

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu pada 24 Disember lalu memaksa lebih 10,000 penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan daerah seluruh negeri.

Daerah Hulu Terengganu antara lokasi paling terjejas dengan jumlah mangsa menjangkau lebih 4,000 orang.