Pemancing terkejut jumpa tapir terperangkap dalam parit

Seekor tapir yang mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki belakang ditemui dalam parit di Jalan Parit 16 Sungai Panjang, di sini pada Isnin.
Seekor tapir yang mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki belakang ditemui dalam parit di Jalan Parit 16 Sungai Panjang, di sini pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang pemancing terkejut apabila menemui seekor tapir dalam keadaan kedua-dua kaki patah terperangkap dalam parit di Jalan Parit 16 Sungai Panjang, di sini pada Isnin.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Binjai Jaya, Salasiah Sahat berkata, kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu disedari lelaki itu yang sedang memancing ikan di kawasan parit berhampiran.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya menghubunginya memaklumkan kejadian berkenaan.

"Sebaik terima maklumat itu, saya terus menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Salasiah berkata, tapir yang ditemui itu dipercayai dilanggar kenderaan berdasarkan kepada kecederaan pada kedua-dua kaki haiwan itu.

"Saya difahamkan tapir ini terperangkap dalam parit ini lebih dua hari sebelum ditemui orang awam," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Sabak Bernam, Mohd Hairi Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat itu pada jam 5.30 petang.

Menurut beliau, seramai lima anggota kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat tapir dengan anggaran berat 250 hingga 300 kilogram terperangkap dalam parit dengan kecederaan patah di kedua-dua kaki belakang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hairi memberitahu, tindakan awal dilakukan APM dengan menghubungi Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Besar bagi mendapatkan bantuan peralatan dan sangkar untuk menyelamatkan haiwan tersebut.

"Seramai tujuh anggota Perhilitan Sungai Besar dan Sungai Dusun tiba di lokasi kejadian pada jam 6.20 petang," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa percubaan serta usaha menyelamatkan tapir itu dilakukan dan ia mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum berjaya diselamatkan.

"Terdapat kesukaran mengeluarkan tapir ini disebabkan tebing tinggi selain keadaan haiwan ini yang lemah dan kelaparan.

"Tapir itu berjaya dinaikkan dan diselamatkan kira-kira jam 10 malam dan akan dihantar ke National Wildlife Rescue Centre, Sungkai, Perak," katanya.