Syor 10 peratus pembiayaan usahawan diurus NGO - Perdasama

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azamanizam Baharon
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azamanizam Baharon
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperbesarkan lagi kek ekonomi bagi peniaga bumiputera dengan memudahcara pinjaman perniagaan terutama kepada perusahaan mikro serta syarikat pemula.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, satu mekanisme juga perlu dilakukan bagi memastikan dana-dana pengembangan dan pembiayaan perniagaan, geran padanan serta bantuan kewangan lain dapat disalurkan dengan lebih efisien.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan membenarkan 10 peratus pembiayaan untuk diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perdasama, dengan syarat pembiayaan tersebut masih terikat dengan syarat-syarat seperti yang ditetapkan agensi.

“Apabila 10 peratus daripada keseluruhan dana pembiayaan diuruskan oleh NGO usahawan, ia akan memberi manfaat kepada ahli-ahli Perdasama kerana 15,000 ahli kita merupakan ahli aktif, 100 milik bumiputera dan berbayar yuran tahunan.

“Pendekatan ini juga lebih baik kerana Perdasama dapat sahkan keupayaan dan kemampuan mereka membayar semula pinjaman berdasarkan penglibatan ahli-ahli ini dalam kerja-kerja kesukarelaan dan penglibatan aktif mereka dalam banyak program yang dilaksanakan.

“Jika kerajaan bersetuju cadangan ini, ia akan memberikan pengiktirafan terhadap peranan Perdasama dan NGO lain sebagai pelengkap dan jambatan perhubungan antara kerajaan dan usahawan di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Cadangan itu hadir susulan pengenalan cukai-cukai baharu yang bakal diperkenalkan pada tahun ini dan kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 8 peratus, termasuk cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian,

Jelas Mohd Azamanizam, persatuan itu sedia maklum akan perkara berkenaan dan menerima baik keputusan itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Pusat Usahawan Nasional (PUN) di seluruh negara sebagai rujukan dan bantuan pemudah cara untuk usahawan muda memajukan perniagaan.

“Sebagai galakan kepada syarikat yang beralih kepada pendigital juga, kerajaan harus memberi bantuan atau geran 100 peratus,” ujarnya.