Tiada unsur jenayah, dua beranak rentung - Polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GERIK - Polis mengesahkan kejadian dua beranak rentung dalam kejadian kebakaran pondok di dalam dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini pada Isnin tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, berdasarkan keterangan saksi yang merupakan suami dan bapa mangsa, kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur pondok berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, saksi juga cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa namun tidak berupaya sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.

"Hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati pondok tersebut jauh dari jalan utama dan merupakan laluan tanah merah untuk ke kawasan kebun.

"Siasatan yang dilakukan pihak polis juga mendapati tiada apa-apa unsur jenayah. punca kebakaran masih belum diketahui dan masih di dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zulkifli berkata, hasil bedah siasat oleh pihak perubatan Hospital Gerik mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa disebabkan kecederaan akibat kecederaan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kenyataan Zulkifli mengenai kejadian dua beranak rentung di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini pada Isnin.
Kenyataan Zulkifli mengenai kejadian dua beranak rentung di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan lain.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kedua-dua jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Dalam kejadian itu, mangsa, Rahmah Zainon, 76, bersama anak perempuannya, Razilawati Mohamad, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan rentung di pondok berkenaan.

Turut berada di dalam pondok ketika kejadian, suami yang juga bapa mangsa, Mohamad Abd Latif, 84.