'Tok nak duduk lama kat sana'

Saudin menunjukkan gambar Allahyarham ibu dan kakaknya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gerik di sini pada Isnin. Gambar kecil: Rahmah (atas) dan Razilawati.
Saudin menunjukkan gambar Allahyarham ibu dan kakaknya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gerik di sini pada Isnin. Gambar kecil: Rahmah (atas) dan Razilawati.
A
A
A

GERIK - Hasrat untuk tinggal sementara di pondok dalam sebuah dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini menjadi tragedi buat seorang warga emas yang maut dalam kebakaran pada Isnin.

Mangsa, Rahmah Zainon, 76, bersama anak perempuannya, Razilawati Mohamad, 43, ditemui rentung di pondok berkenaan dalam kejadian pada awal pagi Isnin.

Menurut anak kelapan mangsa, Saudin Mohamad, 37, berita pemergian Allahyarham hanya diketahui di lokasi kejadian selepas mendapat panggilan daripada jiran di dusun berkenaan.

Katanya, selain ibu dan kakak, bapanya, Mohamad, 84, turut berada di tempat kejadian namun berjaya menyelamatkan diri.

"Sebelum itu, kami ada buat jamuan makan di dusun dengan adik-beradik. Malam tadi kami balik rumah tetapi mak, ayah dan kakak nak duduk di dusun sebab minggu ini kami nak datang balik.

"Pagi tadi saya dapat panggilan kata pondok terbakar. Masa itu tak tahu apa jadi pada mak dan kakak. Bila sampai ke dusun baru tahu mak dan kakak dah meninggal dalam kebakaran itu. Ayah selamat tapi cedera sikit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini pada Isnin.

Gambar kenangan Allahyarham bersama ahli keluarganya.
Gambar kenangan Allahyarham bersama ahli keluarganya.

Tambah Saudin, bapanya cuba menyelamatkan ibu dan kakaknya namun tidak berdaya kerana faktor kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Saudin berkata, orang tuanya itu tinggal di Kuala Ketil, Kedah dan mereka sekeluarga hampir setiap minggu ke dusun berkenaan.

Jelasnya, kejadian yang berlaku memang menyedihkan buat mereka sekeluarga namun tetap reda dengan ketentuan ALLAH.

"Dalam masa sebulan sebelum kejadian, mak ada cakap dengan kami adik-beradik malah turut beritahu jiran dia nak duduk lama di sana. Arwah juga cakap nak bawa baju banyak sebab nak duduk lama di situ.

"Kami pun tak fikir yang bukan-bukan bila arwah cakap macam itu, tak sangka nak jadi kejadian ini. Apa pun kami reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak, Kuala Ketil, Kedah.

Dalam pada itu, Saudin memaklumkan punca kejadian dipercayai disebabkan api di bahagian dapur kerana difahamkan Allahyarham menjerang air sebelum kebakaran berlaku.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak mengesahkan kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada pihak polis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis mengenai kejadian tersebut pada jam 7.38 pagi.

Menurutnya, sejurus itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian.

Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran tersebut melibatkan sebuah pondok yang musnah terbakar 95 peratus dan turut mengorbankan dua nyawa.