X

Kindly register in order to view this article
!

Perokok degil dikenakan kompaun

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaksanakan operasi serentak seluruh negeri ini melibatkan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) bermula hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Biarpun larangan merokok di beberapa kawasan telah pun diwartakan, namun sebahagian perokok tegar masih tidak mengendahkan peraturan terbabit dengan merokok di dalam kedai makan dan restoran.

Bagaimanapun, tindakan degil pihak terbabit mengundang padah apabila seramai 51 perokok dikenakan kompaun melalui Notis Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah (Notis Di Bawah Seksyen 32B) kerana merokok di tempat larangan merokok mengikut Peraturan 11 (1)(d).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lima premis turut dikenal pasti tidak mematuhi Peraturan 12 (1)(a) apabila gagal memasang tanda larangan merokok

"Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga mengeluarkan notis kepada penghisap rokok elektronik dan juga hookah atau shisha," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua notis tersebut dikeluarkan melalui operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) bermula 1 Januari 2020 serentak di seluruh negeri ini selepas setahun tempoh penguatkuasaan secara pendidikan dijalankan bermula 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2019.

Operasi yang dijalankan itu menyasarkan beberapa kawasan panas hasil risikan sebelum ini melibatkan seramai 87 anggota Pegawai Diberikuasa iaitu Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di 260 premis.

Mengulas lanjut katanya, kesemua Orang Kena Notis diberikan tempoh masa selama dua bulan untuk menjelaskan bayaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Jelasnya, bagi mereka yang melakukan kesalahan kali pertama akan diberikan pengurangan kadar bayaran kompaun iaitu RM150 daripada RM250 jika bayaran dijelaskan dalam tempoh sebulan, bagi kesalahan kedua, nilai kompaun dikenakan adalah RM250 tanpa sebarang pengurangan.

Jelasnya, bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020, tawaran nilai kompaun dikenakan adalah RM350 bagi kesalahan kali ketiga, namun selepas tempoh tersebut, tindakan pendakwaan akan diambil.

"Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

"Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus