[VIDEO] 'Hamdan Senario kelihatan ceria, tak tunjuk dirinya sakit'

A
A
A

ANGGOTA kumpulan Senario mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai keadaan rakan mereka, Hamdan Ramli, 54, terpaksa ditidurkan pada Ahad selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Salah seorang anggota kumpulan tersebut, Azlee Jaafar, 54, memberitahu bahawa Hamdan kelihatan ceria selepas tiba di Johor Bahru pada Sabtu.

Ahli keluarga dan Azlee di pekarangan HSA Johor Bahru berbincang mengenai keadaan Hamdan.
Ahli keluarga dan Azlee di pekarangan HSA Johor Bahru berbincang mengenai keadaan Hamdan.



Bagaimanapun pada Ahad, Azlee memberitahu Hamdan tidak turun sarapan selepas dimaklumkan anaknya bahawa dia demam dan terkejut apabila diberitahu bahawa Hamdan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada sebelah petang.

"Saya pun ada bercakap dengan Hamdan supaya tenang-tenang dulu biarkan saya dan ahli lain berlatih.

"Kemudian pada petang Ahad, isteri Hamdan memaklumkan keadaan Hamdan kritikal," katanya.

Kumpulan Senario hadir ke HSA untuk menziarahi Hamdan.
Kumpulan Senario hadir ke HSA untuk menziarahi Hamdan.



Azlee turut memberitahu bahawa kejadian itu berlaku ketika mereka menyambut ulang tahun ke-27 kumpulan itu, pada Ahad.

Sementara itu, Ilya Buang, 45 atau Pak Ya turut mengakui Hamdan dalam keadaan ceria sebelum itu dan tidak menampakkannya seperti dalam keadaan sakit.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Hamdan penat selepas menempuh perjalanan yang agak jauh dari Jenjarum, Selangor selepas menghantar anaknya sebelum bergerak ke Johor Bahru.

"Memang dia (Hamdan) tidak menunjukkan seperti dirinya sakit, atau pun mungkin dia tahu dia sakit namun tidak beritahu perkara itu kepada kami, Senario dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, bila diberitahu Hamdan terpaksa ditidurkan di HSA atas masalah kesihatan, memang kami terkejut," katanya.

Pada Ahad, Hamdan dilaporkan terpaksa ditidurkan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, 20, berkata, bapanya dibawa ke hospital kerana mengalami cirit-birit sejak Sabtu.