Teruja bayi tahun baharu lahir jam 12.12 tengah malam

Dari kiri: Vivinah, Norashikin dan Putri Nila Rahmah ketika bergambar bersama bayi mereka di HTA pada Isnin.
Dari kiri: Vivinah, Norashikin dan Putri Nila Rahmah ketika bergambar bersama bayi mereka di HTA pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permulaan tahun baharu 2024 menjadi tarikh istimewa buat tiga ibu yang melahirkan bayi masing-masing di Hospital Tunku Azizah (HTA) pada Isnin.

Pengusaha taska, Vivinah Chinniah, 33, akui teruja dan gembira apabila dimaklumkan oleh jururawat bahawa bayinya antara yang paling awal lahir di hospital berkenaan iaitu pada jam 12.12 tengah malam.

Vivinah yang berasal dari Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, bayi perempuan itu merupakan anaknya yang kedua, manakala anak sulung pula berusia lapan tahun.

“Tiada perkataan yang boleh diungkapkan untuk gambarkan perasaan ini. Hari ini adalah hari yang bermakna untuk bayi saya, lahir-lahir sahaja sudah mendapat sambutan seperti ini.

“Suami saya juga berasa sangat gembira sebab tidak menyangka akan ada sambutan sebegini meraikan bayi kami yang baru lahir.

"Sepatutnya saya melahirkan bayi pada 23 Disember lalu, memang kami jangkakan dia dilahirkan lewat seminggu tetapi tidak sangka dia akan lahir pada hari pertama tahun ini pada jam 12:12 pagi," katanya kepada petugas media di Majlis Sambutan Bayi Tahun Baru di HTA pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Vivinah (tiga dari kanan) ketika menerima sijil pengiktirafan sempena Bayi Tahun Baharu 2024 di HTA pada Isnin.
Vivinah (tiga dari kanan) ketika menerima sijil pengiktirafan sempena Bayi Tahun Baharu 2024 di HTA pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Hospital HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin; Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kuala Lumpur (HKL), Muhd Mustafar Ghazandar dan Timbalan Pengarah Perubatan 3 HKL, Dr Mohd Syafik Ismail Azman.

Dalam pada itu, surirumah, Norashikin Mohd Nor, 39, berkata, dia tidak menyangka tarikh bersalinnya lebih awal dari jangkaan iaitu 10 Januari tahun ini.

"Kelahiran bayi lelaki ini memang luar jangkaan. Ini semua adalah rezeki dia (bayinya), pelbagai hadiah kami terima hari ini untuk bayi ini.

“Suami saya juga terkejut ketika dia dilahirkan pada jam 2 pagi semalam.

"Ini adalah anak keempat saya. Anak saya yang lain masing-masing berusia empat, 10 dan juga 14 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Putri Nila Rahmah Abu Zanar, 31, berkata, dia telah menjangkakan bahawa bayi lelakinya itu akan dilahirkan lebih awal dari tarikh bersalin.

Jelasnya, ia berikutan dua anaknya yang sebelum ini juga dilahirkan lebih awal dari jangkaan.

“Rezeki bayi ini untuk lahir pada 1 Januari 2024 jam 1 pagi. Sepatutnya dia dilahirkan pada 12 Januari, tetapi berdasarkan pengalaman saya anak saya memang akan dilahirkan awal jadi saya sudah boleh agak dan bersedia.

“Jarak usia bayi ini dengan abangnya adalah enam tahun, saya teruja kerana sudah lama tidak melahirkan di sini.

"Dahulu hospital lama sekarang sudah baru. Saya juga teruja kerana sudah lama tidak mempunyai anak kecil,” jelasnya.


Kelahiran anak lebih awal pada tahun baharu petanda rezeki

KLANG - Menjangkakan kelahiran bayinya pada 19 Januari nanti, seorang ibu tidak menyangka akan menyambut kelahiran bayi pertamanya pada tahun baharu.

Ibu terbabit, Sri Moogambigai Subramaniam, 34, berkata, dia dan suami bagaimanapun menganggap kelahiran 18 hari lebih awal daripada tarikh dijangka itu sebagai satu rezeki.

Sri Moogambigai menganggap kelahiran 18 hari lebih awal daripada tarikh dijangka itu sebagai satu rezeki.
Sri Moogambigai menganggap kelahiran 18 hari lebih awal daripada tarikh dijangka itu sebagai satu rezeki.

“Saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.4 kilogram itu secara normal pada jam 6.20 pagi tadi. Memang tak jangka juga saya dapat lahir bayi ini awal dan pada tarikh tahun baharu.

"Saya dan suami sangat gembira tetapi suami masih belum sempat melihat bayi kami lagi selepas saya dapat melahirkan bayi pada tarikh ini,” katanya yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas merasa sakit hendak bersalin pada Ahad.

Ibu bayi tersebut ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Lembaga Pelawat HTAR sempena sambutan bayi tahun baharu 2024 di HTAR di sini pada Isnin.

Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad dan Pengarah HTAR, Zulkarnain Mohd Rawi serta Mohd Shahrul Hafiz Mohd Sufian yang mengetuai Ahli lembaga Pelawat HTAR.

Sri Moogambigai adalah antara enam ibu yang selamat melahirkan bayi pada tahun baharu di HTAR dan kesemua mereka menerima hadiah berupa barangan kepengkapan bayi disampaikan Masdiana yang juga merupakan isteri Menteri Besar.

Dalam pada itu, seorang lagi ibu, Nurul Aimie Md Azmi, 31, turut menyatakan rasa syukur dan teruja menyambut kelahiran bayi ketiganya seberat tiga kilogram itu pada awal tahun baharu.

Isteri kepada Mohamad Al Hafiz Sentol, 32, yang menetap di Pulau Indah itu selamat melahirkan bayi perempuan keempatnya pada jam 5.39 pagi tadi secara normal.

“Kalau ikut jangkaan bayi saya sepatutnya lahir pada 13 Januari ini. Tak sangka juga akan bersalin pada tahun baharu,” katanya.

Fatin (kiri) juga tidak menyangka menerima kunjungan daripada isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana (tengah).
Fatin (kiri) juga tidak menyangka menerima kunjungan daripada isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana (tengah).

Sementara itu, Fatin Siti Nor Balkis Subri, 26, pula berkata, sambutan tahun baharu kali ini penuh makna apabila dia selamat melahirkan anak perempuannya pada jam 8.47 pagi tadi.

"Saya pun tidak sangka anak, Siti Norhaifa Fatima Mohd Haikal yang baru lahir pada tahun baharu turut menerima kunjungan daripada isteri Menteri Besar Selangor," katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, seramai enam bayi dilahirkan pada awal pagi tahun baharu 2024 di HTAR bermula jam 12 tengah malam hingga jam 10 pagi pada Isnin.

Empat daripada enam bayi dilahirkan pada awal pagi tahun baharu 2024 di HTAR.
Empat daripada enam bayi dilahirkan pada awal pagi tahun baharu 2024 di HTAR.

“Daripada enam kelahiran tersebut yang mana seramai empat bayi Melayu, masing-masing seorang bayi India dan Cina dilahirkan setakat jam 10 pagi di HTAR pada tahun baharu ini,” katanya.


Tak sangka lahirkan anak di tahun baharu

KOTA BHARU - Seorang ibu terkejut dan tidak menyangka akan melahirkan anak kelimanya itu pada tahun baharu pada Isnin. Nor Umira Mat Noh, 37, berkata, hal ini kerana dia dijangka melahirkan anak itu pada 15 Januari nanti berpandukan kepada usia kandungan.

"Namun disebabkan saya mempunyai kencing manis semasa mengandung, doktor mencadangkan bersalin awal pada usia kandungan 38 minggu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar apabila tiba di hospital bukaan sudah 4 cm (sentimeter) dan selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 7.42 pagi di bawah seliaan Dr Nor Anita Abdullah ," katanya yang bersalin di Hospital Pakar KPJ Perdana di sini.

Menurut Nor Umira dari Kadok, dia mempunyai dua anak lelaki dan dua perempuan berusia 15 hingga 5 tahun. Ujarnya, sebagai ibu, dia begitu teruja dapat menyambut kelahiran anak lelakinya pada tarikh 1 Januari.

"Terima kasih kepada suami, serta semua kakitangan hospital yang banyak membantu sepanjang urusan bersalin," katanya.