Cuaca cerah, mangsa banjir ambil peluang bersih rumah

Pembantu kedai Muhd Syawal Aqib Aminuddin membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama
Pembantu kedai Muhd Syawal Aqib Aminuddin membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Banjir yang mula surut sejak pagi tadi memberi peluang kepada mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk pulang membersihkan rumah masing-masing.

Muhammad Syafiq Mat Salleh, 28, dari Kampung Ana berkata, dia memanfaatkan cuaca yang cerah untuk membersihkan rumah dan kedai runcitnya yang dinaiki air hingga paras lutut setelah lima hari kampung berkenaan dilanda bencana itu.

"Paras air menurun dengan cepat sejak malam semalam. Mungkin sebab sudah beberapa hari tidak hujan... Alhamdulillah hari ini dapat juga pulang ke rumah," katanya kepada Bernama hari ini.

Pembantu membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama
Pembantu membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama

Menurut Muhammad Syafiq, rumah dan kedai runcitnya tidak terjejas teruk malah dia juga telah membuat persiapan awal dengan mengalihkan barangan jualan ke tempat lebih tinggi.

"Saya sememangnya sudah bersedia berlaku banjir. Sekarang ini cuma perlu cuci lantai dan kotoran bekas banjir sahaja," katanya.

Sementara itu, Pembantu Penghulu Kampung Kubang Sawa, Saari Musa berkata, sebahagian penduduk kampung itu mengambil peluang air surut serta cuaca baik untuk pulang ke rumah selepas berlindung di PPS sejak Rabu lepas.

"Namun, masih ada lagi orang kampung yang belum boleh pulang (ke rumah) kerana jalan masuk ke kampung tidak boleh dilalui kenderaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: