Langkah JDT wajar dicontohi kelab Liga Malaysia lain

JDT mengekalkan penguasaan saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. FOTO: JOHOR Southern Tigers
JDT mengekalkan penguasaan saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. FOTO: JOHOR Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) masih disifatkan pilihan mendominasi saingan Liga Malaysia 2024/25 walaupun Harimau Selatan itu mengumumkan penstrukturan semula pasukan tersebut agar lebih berdaya saing saingan musim depan.

Malah, Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman menyifatkan keputusan diambil Harimau Selatan itu satu tindakan bijak pengurusan kelab dalam memastikan kelangsungan pasukan berprofil tinggi tanah air tersebut.

“Keputusan JDT melakukan penstrukturan semula kewangan merupakan satu tindakan bijak dalam memastikan kelangsungan kelab pada masa depan.

“Langkah JDT ini sebenar sewajarnya dicontohi kelab-kelab lain Liga Malaysia yang terpalit dengan isu kewangan khasnya melibatkan tunggakan gaji dari awal hingga penghujung musim.

“Sejujurnya, keputusan diambil JDT ini juga satu syarat kepada kelab-kelab Liga Malaysia lain untuk lebih berhemah dan bersederhana dalam berbelanja untuk musim 2024/25 yang lebih panjang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat (kiri) dan Sabtu (kanan).
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat (kiri) dan Sabtu (kanan).

Sebelum ini, JDT yang melengkapkan kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut sejak 2014, mengumumkan pengendali, Esteban Solari dan enam pemain Harimau Selatan, antara yang akan meninggalkan kelab itu sebagai langkah penstrukturan jangka panjang kelab berkenaan.

Transformasi JDT juga memperlihatkan Harimau Selatan mengurangkan perbelanjaan sehingga 30 hingga 40 peratus selepas kelab membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Susulan penstrukturan itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberi bayangan kelab selatan tanah air tersebut akan tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam saingan Liga Malaysia 2024/25 yang dijadualkan bermula awal Mei.

Dalam pada itu, Afizal percaya penstrukturan semula Harimau Selatan tidak akan menjejaskan kualiti kelab yang mempunyai nilai komersial dan infrastruktur kukuh tersebut dalam mengharungi saingan 2024/25 yang lebih kompetitif.

Malah katanya, keputusan JDT menggantikan pengendali, Solari dengan Hector Bidoglio yang merupakan pengarah teknikal kelab sebelum ini juga tidak menjejaskan filosofi kelab tersebut.

“Kembalinya semula Bidoglio, JDT tetap menjadi pilihan mendominasi saingan Liga Malaysia musim depan, selain lebih berdaya saing dalam Liga Juara-Juara Asia Elite kerana dia berpengalaman mengendalikan skuad Harimau Selatan sebelum ini.

“Tindakan JDT melepaskan beberapa pemain tidak langsung menjejaskan persiapan pasukan musim 2024/25 kerana kebanyakan merupakan pemain lama dan jarang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan sejak dua tiga musim lalu.

“Malah, JDT juga masih mempunyai ramai lagi pemain muda dari akademi, pemain naturalisasi dan pemain import yang berada dalam prestasi terbaik semasa.

“Penstrukturan ini akan menyaksikan JDT lebih kompak bersedia mengharungi pramusim dengan lebih rapi bagi saingan musim depan.

“Saya percaya JDT masih lagi pasukan pilihan mendominasi saingan Liga Malaysia musim depan, pada masa meningkatkan lagi pencapaian dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite,” katanya.