Kesediaan kelab Liga-M praktik FFP cetus persoalan

Status Kelantan FC untuk mendapat lesen kebangsaan bagi beraksi dalam kancah Liga Super musim depan masih menjadi tanda tanya. (Gambar kecil: Pekan)
Status Kelantan FC untuk mendapat lesen kebangsaan bagi beraksi dalam kancah Liga Super musim depan masih menjadi tanda tanya. (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

PELAKSANAAN 'Financial Fair Play' (FFP) bagi mengatasi masalah kewangan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) adalah sesuatu yang positif, namun timbul persoalan kesediaan setiap kelab untuk mempraktikkannya.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, menerusi FFP syarat yang ketat dikenakan ke atas setiap pasukan termasuk denda yang tinggi sekiranya mana-mana kelab gagal mematuhi peraturan tersebut.

Justeru katanya, setiap pasukan perlu bersedia daripada pelbagai aspek termasuk sumber dana, kewangan yang kukuh dan perancangan teliti bagi mengharungi setiap musim Liga-M.

“MFL (Liga Bolasepak Malaysia) sudah buat (FFP) cuma tidak setegas seperti di Eropah dan EPL (Liga Perdana Inggeris).

“Sebab jika nak laksana betul-betul, banyak kelab tak boleh ikut (peraturan ketat). Ada kelab masih dibelenggu hutang tertunggak dan gaji pemain tak dibayar.

“Tapi MFL masih beri peluang kepada kelab, sebab mereka janji nak lunas tunggakan gaji pemain. Masih ada toleransi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Beliau mengulas pengumuman MFL minggu lalu mengenai sepak mula Liga-M musim 2024/2025 bermula awal Mei sekali gus menuntut setiap kelab untuk menguruskan kewangan dengan bijak bagi mengelak krisis tunggakan gaji pemain berulang.

Pekan juga melihat MFL berada dalam dilema untuk melaksanakan sepenuhnya peraturan tersebut memandangkan status pasukan yang masih ada dibelenggu dengan kemelut kewangan.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, situasi tidak sihat itu tidak wajar dibiarkan berlarutan dan setiap pasukan perlu mengambil inisiatif untuk membentuk kelab itu sebagai entiti perniagaan yang mempunyai sumber pendapatan sendiri selain dana daripada tajaan.

“Setiap pasukan perlu buktikan kedudukan kewangan yang kukuh, bajet untuk bayar gaji pemain, kemampuan untuk ambil pemain import. Jangan pula nanti, gaji import dibayar, tapi pemain tempatan tak dapat gaji.

“Saya tak nampak ia bolah dilaksana pada musim depan. Mungkin dua atau tiga tahun lagi. Ia berdasarkan kemampuan pasukan yang berbeza-beza. Jadi setiap kelab perlu bermula daripada sekarang,” katanya.