Jurucakap kempen Anies-Muhaimin ditahan seleweng cukai, gubah wang haram

Anies (kiri) yang bergandingan dengan Muhaimin akur dengan proses undang-undang tersebut. - Foto: Agensi
Anies (kiri) yang bergandingan dengan Muhaimin akur dengan proses undang-undang tersebut. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Jurucakap kempen calon Presiden (capres) Indonesia, Anies Baswedan dan calon naib presiden (cawapres), Muhaimin Iskandar ditahan atas kesalahan penyelewengan cukai dan jenayah pengubahan wang haram.

Pemangku Ketua Risikan di Pejabat Pendakwa Raya, Mahfuddin Cakra Saputra pada Khamis mengesahkan penahanan Indra Charismiadji yang merupakan pemilik PT Luki Mandiri Indonesia Raya.

Seorang lagi suspek iaitu kakitangan syarikat itu, Ike Andriani juga diberkas di bawah kes sama.

"Mereka didakwa sengaja tidak memfailkan penyata cukai syarikat untuk cukai nilai tambah (VAT) bagi tempoh Januari-Disember 2019.

"Perbuatan itu telah menyebabkan kerugian kepada pendapatan negara berjumlah 1.1 bilion rupiah (RM327,341)," ujarnya.

Menurutnya lagi, suspek juga gagal mendepositkan cukai VAT syarikat itu bermula 2017 hingga 2019 dan menerbitkan invois cukai yang tidak memaparkan transaksi sebenar.

Menerusi kenyataan respons terhadap insiden itu, Anies memberitahu beliau menghormati proses undang-undang malah mengulangi kenyataan bahawa semua individu yang terlibat apa jua kes tidak akan terlepas daripada undang-undang.

Difahamkan, bekas Gabenor Jakarta itu juga masih berada di bawah siasatan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) berhubung kes rasuah melibatkan perlumbaan sukan permotoran elektrik Formula-E di ibu kota. - Agensi

Artikel Berkaitan: