Bidoglio ganti Solari sebagai Ketua Jurulatih JDT

Bidoglio. Foto Bernama
Bidoglio. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pengarah teknikal kelab dan penasihat utama pasukan, Hector Bidoglio kembali sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Selatan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025.

Ia bagi menggantikan Esteban Solari yang berpisah dengan skuad juara 10 kali Liga Super itu selepas satu musim membimbing pasukan dari Selatan tanah air itu.

Apa yang menarik, barisan kejurulatihan akan turut disertai bekas pemain JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak.

Perkhabaran tersebut dimaklumkan menerusi laman sosial JDT sebentar tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards memberitahu, Bidoglio akan dibantu oleh Pablo Ricchetti yang juga penolong jurulatih musim lepas.

“Turut membantu Bidoglio ialah penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan dan perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan,” tulis JDT menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Hector pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai hingga November 2022 sebelum menjadi pengarah teknikal JDT.

Beliau telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan media JDT mengumumkan pelantikan Bidoglio sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Selatan. Foto: FB Johor Southern Tigers
Kenyataan media JDT mengumumkan pelantikan Bidoglio sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Selatan. Foto: FB Johor Southern Tigers

Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell's Old Boys.

Jurulatih berusia 55 tahun itu pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

Beliau juga pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis dan telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.

JDT pada Khamis mengumumkan tidak lagi menggunakan khidmat Solari bagi mengharungi Liga-M musim depan.

Turut tidak bersama JDT ialah barisan kejurulatihan yang tidak akan bersama adalah Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero.

Ia adalah sebagai langkah JDT yang giat melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan 30 hingga 40 peratus disebabkan keperluan penstrukturan semula kewangan.

Beberapa pemain Harimau Selatan juga tersenarai dalam transformasi besar-besaran yang disifatkan sebagai antara usaha jagoan selatan tanah air itu memantapkan lagi struktur kewangan kelab termasuk Aidil Zafuan.

Pemain lain ialah S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

Pemain yang akan dipinjamkan keluar pula ialah Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Haziq Nadzli.