Serangan makin menggila di selatan Gaza

Unit kereta kebal IDF mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan bersempadan Genting Gaza pada Rabu. - Foto AFP
Unit kereta kebal IDF mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan bersempadan Genting Gaza pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terus memperhebatkan serangan ganas ke atas kem pelarian dan bandar terbesar di selatan Genting Gaza ketika angka korban kekejaman rejim Zionis dalam perang yang berlarutan selama 11 minggu itu kini melepasi lebih 21,000 orang.

Operasi pertempuran bandar yang semakin menggila di bahagian selatan wilayah itu tetap diteruskan walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penduduk Gaza kini berdepan bahaya besar.

Jurucakap IDF, Daniel Hagari memaklumkan, serangan ke atas kem pelarian pusat di Gaza memasuki hari ketiga selain briged tambahan dikerahkan ke bandar Khan Yunis.

Hagari turut memberi isyarat kemungkinan kempen pengeboman diperluaskan ke bahagian utara di sepanjang Lubnan setelah serangan rentas sempadan semakin meningkat antara pejuang Hizbullah dan IDF sejak beberapa minggu lalu.

Pada Rabu, staf WHO memaklumkan ratusan ribu penduduk Gaza kini kehilangan arah selepas mereka terpaksa berpindah lagi susulan serangan di Khan Yunis dan kawasan tengah bandar itu.

“WHO sangat bimbang dengan gelombang baharu perpindahan ini kerana ia berisiko membebankan lagi kemudahan kesihatan di selatan yang kini bergelut untuk memenuhi keperluan penduduk,” kata Wakil WHO di Tebing Barat dan Gaza, Rik Peeperkorn.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan penilaian medan perang baharu di Gaza mendapati pejuang Hamas menggunakan ‘roket termobarik’ buat pertama kali untuk menentang rejim Zionis.

Maklumat itu diperoleh Institut Kajian Perang (ISW) dan Projek Ancaman Kritikal (CTP) yang mendedahkan, Hamas kini dilengkapi senjata lebih canggih dan berupaya menyasarkan helikopter musuh dengan misil mudah alih.

Artikel Berkaitan:

“Anggota infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun meminta sokongan daripada kapal tentera laut yang ditempatkan di luar pantai Gaza dan unit udara untuk menangkis serangan pejuang Hamas,” jelas laporan itu lagi.

Ketika ini, serangan dilancarkan gerakan Hizbullah dari Lubnan juga dilaporkan semakin meningkat dan konflik di rantau itu dikhuatiri terus merebak selepas Ketua Turus IDF memberi amaran mereka perlu siap-siaga untuk operasi di selatan Beirut jika keperluan mendesak. - Agensi