Ciplak Sambal Nyet, Khairul Aming ambil tindakan undang-undang

Khairul Aming menunjukkan produk Sambal Nyet asli dengan sambal ciplak yang mempunyai identiti sama menerusi hantaran video di Instagramnya pada Khamis.
Khairul Aming menunjukkan produk Sambal Nyet asli dengan sambal ciplak yang mempunyai identiti sama menerusi hantaran video di Instagramnya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan muda yang juga pempengaruh media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti cuba meniru produk Sambal Nyet.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming berkata, kewujudan produk berkenaan telah dikesan sejak beberapa hari lalu, namun memerlukan masa untuk mengumpulkan bukti.

"Kita sedar kewujudan sambal ni sejak beberapa hari lepas. Tapi kita tengah kumpul bukti untuk ambil tindakan undang-undang.

"Kami dah beli sambalnya untuk dijadikan bukti dan jejak siapakah penjual terbabit.

"Sambalnya sangat identical (sama). Kita telah kenal pasti siapakah seller dan hari ni peguam kami dah hantar letter of demand (LOD) di atas Infringement of Intellectual Property Rights and Passing Off," katanya menerusi hantaran video di Instagram pada Khamis.

Beliau menambah, terdapat lapan tuntutan telah disenaraikan dalam LOD berkenaan, namun tidak mendedahkan lebih lanjut.

"Jika mereka gagal penuhi kesemua tuntutan tersebut kita akan bawa kes ini ke proses undang-undang yang seterusnya," katanya.

Anak kelahiran Kelantan itu menjelaskan, tanda dagangan Sambal Nyet telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan diluluskan pada tarikh 2 November 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu Sambal Nyet ciplak pernah terjadi tiga tahun lepas dan kes terbaharu yang berlaku amat dikesali.

"Saya selalu beri sokongan kepada peniaga kecil tapi berniaga lah dengan cara yang beretika dan berhemah. Jangan aniaya orang ramai macam ni," katanya.

Tular di media sosial produk sambal dengan jenama 'Sambal Nyet Khairi' yang menyerupai identiti khususnya pembungkusan seperti Sambal Nyet yang dikeluarkan oleh Khairul Aming.

Perkara itu mendapat perhatian warganet dan mengundang pelbagai kecaman berikutan ciri-ciri produk ciplak dikenal pasti adalah sama dengan identiti produk asal termasuk logo, tulisan dan kad yang mempunyai gambar individu dipercayai penjual sambal tersebut.