Bot rosak, 60 PATI cuba balik negara asal gagal

Gambar kiri: Bot dipercayai dinaiki 60 PATI ditemukan tersadai di Bagan Sungai Tiang dekat Selekoh, Bagan Datuk. Gambar kanan: Seramai 60 PATI ditahan polis selepas bersembunyi di kawasan kebun kelap sawit di Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk. - Foto ihsan pembaca
Gambar kiri: Bot dipercayai dinaiki 60 PATI ditemukan tersadai di Bagan Sungai Tiang dekat Selekoh, Bagan Datuk. Gambar kanan: Seramai 60 PATI ditahan polis selepas bersembunyi di kawasan kebun kelap sawit di Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN DATUK - Cubaan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) meninggalkan perairan negara gagal apabila ditahan pasukan polis di kawasan kebun kelapa sawit di Bagan Sungai Tiang dekat Selekoh pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal diterima sekitar jam 3.45 pagi apabila orang awam terlihat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan terkandas di perairan berkenaan.

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan anggota Balai Polis Rungkup dibantu Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor serta Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, bot yang disyaki membawa sekumpulan PATI itu telah kosong.

"Pemeriksaan diteruskan di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sebelum menemui kesemua tangkapan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, polis menemukan 40 lelaki dan 20 wanita disyaki warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 64 tahun.

"Siasatan lanjut mendapati kesemua PATI terkandas di kawasan itu apabila bot dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia mengalami kerosakan enjin.

"Pihak polis juga telah berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun yang memandu dua kereta disyaki membawa migran haram untuk dihantar pulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.