AS hantar 750 tentera ke Timur Tengah

Kepulan asap dapat dilihatberhampiran pintu masuk Kedutaan AS di Baghdad selepas perusuh menyerang bangunan itu semalam. - Foto AFP
Kepulan asap dapat dilihatberhampiran pintu masuk Kedutaan AS di Baghdad selepas perusuh menyerang bangunan itu semalam. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih 750 anggota tentera ke Timur Tengah, susulan serangan oleh penunjuk perasaan pro-Iran di Kedutaan Washington di Baghdad.

Setiausaha Pertahanan, Mark Esper dalam satu kenyataan berkata, lebih banyak tentera dari unit tindak balas Bahagian Hantaran Udara ke-82 bersedia untuk ditempatkan dalam beberapa hari lagi.

"Penempatan anggota adalah langkah tepat dan berjaga-jaga yang diambil sebagai tindak balas terhadap tahap ancaman yang semakin meningkat dalam kalangan pegawai dan kemudahan AS. Sebagai contoh, apa yang berlaku di Baghdad sekarang.

"AS akan melindungi rakyat dan kepentingan kami walau di mana sahaja mereka berada di seluruh dunia," katanya.

Trump enggan perang dengan Iran

Presiden AS, Donald Trump menegaskan beliau tidak mahu berperang dengan Tehran selepas penunjuk perasaan pro-Iran memecah masuk Kedutaan AS di Iraq.

"Saya tidak melihat perkara itu akan berlaku. Saya sukakan keamanan," katanya ketika ditanya tentang kemungkinan peperangan dengan republik Islam tersebut.

Terdahulu, Trump menyalahkan Iran untuk serangan di Kedutaan AS dan memberi amaran mereka akan menerima hukuman setimpal jika terdapat rakyat AS terbunuh.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan menggunakan paip untuk memecahkan tingkap kalis peluru di Kedutaan AS di Baghdad. - Foto AFP
Penunjuk perasaan menggunakan paip untuk memecahkan tingkap kalis peluru di Kedutaan AS di Baghdad. - Foto AFP

"Iran akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehilangan nyawa atau sebarang kerosakan di mana-mana kemudahan kami. Ini bukan amaran, ini ancaman," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Selepas rusuhan ganas semalam, AS juga telah menerbangkan pasukan balas ke ibu negara Iraq bagi mengukuhkan lagi kedutaannya yang turut meningkatkan ketegangan antara Washington dan Iran.

Kedutaan tidak akan dipindahkan

AS tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengosongkan kedutaannya di Baghdad dan pasukan tambahan akan dihantar susulan serangan terbaharu di negara itu.

"Kakitangan Washington selamat dan tiada pelanggaran. Kami juga tidak mempunyai rancangan untuk memindahkan kedutaan di Baghdad," menurut jurucakap Jabatan Negara.

Katanya lagi, Duta AS ke Iraq, Matt Tueller telah kembali ke kedutaan.

Semalam, pegawai Iraq memaklumkan Duta Besar dan kakitangan lain dipindahkan untuk keselamatan mereka.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan, Mark Esper menggesa kerajaan Iraq untuk melindungi rakyat AS di negara itu kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab antarabangsa Baghdad.

Difahamkan, pasukan amaran terdiri daripada kira-kira 4,000 anggota yang dikenali sebagai Deployment Ready Brigade (DRB), juga telah diperintahkan bersiap sedia untuk dihantar ke Kuwait dalam masa terdekat. - Agensi