Nampak okey tak semestinya okey!

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

PEJAM celik, pejam celik kita sudah berada di pengakhiran tahun 2023.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi bakal melangkah ke tahun baharu 2024.

Pelbagai kisah emosi disajikan sepanjang tahun dan meninggalkan kesan mendalam buat seseorang.

Antara menarik perhatian penulis mengenai kes seorang pegawai kanan polis didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima yang dilanggarnya pada 15 Disember lalu.

Kisahnya masih menjadi bualan ramai sehingga kini yang rata-ratanya menyifatkan insiden itu paling menyayat hati.

Kes tersebut masih belum menemui noktah akan tetapi pegawai polis itu sudah didakwa di mahkamah secara tidak langsung memberi ‘kepuasan’ kepada pihak yang kecewa dengan tindakan pegawai polis terbabit.

Apabila insiden ini melibatkan seorang anggota badan beruniform, ia beri impak kepada pasukan keselamatan. Bak kata perpatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Di sebalik kejadian, ia sebenarnya melibatkan personaliti individu yang didorong oleh tindakan nafsu dan akal sendiri kerana emosi marah natijahnya membawa padah.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan kes tiga beradik dicekup, bunuh kekasih adik, tanam dalam belukar di Sungai Choh, Rawang yang berlaku 24 Disember lalu, disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hanya salah faham si mati dipukul dengan kayu, botol kaca dan tong besi hingga maut sebelum tanam mayat di belakang rumah.

Dalam pada itu, memetik laporan media tempatan, penganalisis jenayah bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat, pembunuh kejam ibarat satu wajah tetapi memiliki dua personaliti berbeza termasuk ‘rahsia’ identiti sebagai pembunuh kejam.

Ia dikaitkan kes pembunuhan gadis berusia 21 tahun dipukul hingga mati, sebelum perutnya ditoreh untuk keluarkan kandungan berusia empat bulan dan mayatnya dibakar dua kali oleh teman lelakinya.

Mayat mangsa ditemui hangus di kebun kelapa sawit di Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor.

Puncanya suspek mahu rahsiakan kehamilan selepas lakukan hubungan sulit bersama mangsa.

Kata Shahul Hamid, terdapat banyak faktor pengaruhi seseorang bertindak di luar kawalan termasuk faktor tekanan hidup, dendam, masalah kewangan, pengaruh dadah, alkohol dan cemburu.

Seperti kes bekas tentera cemburu mengesyaki isterinya berlaku curang lalu menikam mangsa di bahagian kiri dada dengan sebilah pisau di Jalan Padang Nyu, Perlis pada 30 September lalu.

Mereka dipercayai bergaduh sebelum suspek ‘naik angin’ secara tiba-tiba mengambil pisau dan tikam dada mangsa.

Selepas bunuh, suspek bawa wanita itu ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal, kemudian hantar dua anak berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.

Tindak-tanduk suspek seperti tiada apa-apa berlaku, ibaratnya selepas bunuh, back to normal malah personaliti itu dikaitkan dengan psikopat iaitu kurang atau tiada rasa bersalah.

Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai berkata, personaliti psikopat menjadi salah satu faktor kecenderungan melakukan perbuatan di luar logik akal walaupun mampu bergaul secara normal dalam komuniti sosial.

Ujarnya, dari segi psikologi, individu berkenaan tiada rasa empati atau kemampuan menyelami emosi dan perasaan orang lain.

Selain itu, faktor masalah keluarga berantakan dan gagal kawal emosi antara faktor utama seseorang itu tergamak melakukan perbuatan di luar batas.

Jika disingkap kembali sejarah jenayah kejam yang berlaku sepanjang tahun ini, terlalu banyak dan sadis hingga tak tercapai dek akal.

Justeru, jika anda sendiri mengalami tekanan jiwa tahap serius, mudah marah, segera jalani pemeriksaan kaunseling kerana nampak okey tapi sebenarnya tak!

* Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial