Banjir reda beberapa hari lagi

Pakar meteorologi meramalkan banjir akan mula mereda pada hari ini dan esok susulan penurunan air sungai di kawasan Pantai Timur.
Pakar meteorologi meramalkan banjir akan mula mereda pada hari ini dan esok susulan penurunan air sungai di kawasan Pantai Timur.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan banjir dijangka mereda dalam tempoh beberapa hari lagi susulan trend penurunan air sungai di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, walaupun musim Monsun Timur Laut masih aktif namun keadaan tersebut terkawal.

Menurutnya, musim tengkujuh di kawasan Pantai Timur akan berakhir dan mengalami cuaca kering untuk beberapa tempoh.

Azizan
Azizan

“Saya menjangkakan tempoh hujan akan mula mereda bermula 29 atau 30 Disember ini berdasarkan trend penurunan paras air sungai di beberapa negeri.

“Keadaan ini juga berlaku disebabkan musim tengkujuh akan tamat bermula pertengahan Januari 2024.

“Kawasan di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami keadaan hujan berterusan bermula November hingga Disember, namun akan mengalami cuaca kering bermula pertengahan Januari hingga Februari,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 27 Disember, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kuala Krai, Azi Rahimee Mohamed berkata, banjir yang melanda Kuala Krai sejak minggu lepas dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai berkata, ia berikutan banyak pusat pemindahan sementara (PPS) telah mula ditutup dan mangsa banjir juga telah pulang ke rumah masing-masing.

Mengulas lanjut, menurut Azizan, keadaan berbeza di Sabah dan Sarawak di mana negeri itu akan mengalami musim tengkujuh bermula Januari sehingga Februari nanti.

“Luruan Monsun Timur Laut ini juga akan memberi kesan kepada beberapa buah negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Cuma yang berbeza adalah Sabah dan Sarawak dijangka akan mengalami fenomena hujan lebat pada Januari sehingga Februari,” katanya.