Covid-19: Jangan risau untuk pindah ke PPS - Polis

Wan Rukman (dua dari kiri) beramah mesra bersama petugas kesihatan semasa membuat lawatan di PPS di Kampung Bukit Tok Bat. Foto Bernama
Wan Rukman (dua dari kiri) beramah mesra bersama petugas kesihatan semasa membuat lawatan di PPS di Kampung Bukit Tok Bat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Polis menasihatkan mangsa banjir yang bimbang akan keadaan semasa Covid-19 supaya tidak risau untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa membuat pemantauan terhadap situasi di PPS termasuk ketika setiap mangsa didaftarkan masuk ke pusat berkenaan.

Wan Rukman (kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir. Foto Bernama
Wan Rukman (kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir. Foto Bernama

"Saya sudah berbincang dengan pegawai KKM di sini dan memang setiap PPS ada ditempatkan pegawai dan petugas kesihatan untuk memantau status kesihatan mangsa.

"Ketika mangsa mahu mendaftar di PPS, pegawai KKM akan buat pemeriksaan awal dan siasatan awal terhadap mangsa. Kalau kurang memuaskan mangsa akan dicadangkan untuk dirujuk ke hospital untuk saringan lanjut dan tujuan rawatan,” katanya kepada pemberita ketika melawat PPS di Kampung Bukit Tok Bat, di sini pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan mangsa agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat kawalan kendiri sepanjang masa.

Setakat 23 Disember lepas, portal KKMNOW melaporkan Terengganu mencatatkan sebanyak 1,250 kes aktif Covid-19.

Wan Rukman turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan pergerakan ahli keluarga terutamanya anak masing-masing agar tidak bermain air memandangkan arus banjir yang masih deras di beberapa kawasan di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan kepada mereka yang ingin bercuti semasa musim cuti persekolahan ini agar mengambil langkah persiapan awal dengan menempatkan perkakas rumah mereka di tempat yang lebih selamat.

"Kalau tiada di rumah sila maklum kepada balai lebih awal supaya boleh dipantau (rumah) kalau dinaiki air,” katanya.

Terengganu yang ketika ini dilanda gelombang ketiga banjir menyaksikan bilangan mangsa terus meningkat iaitu seramai 10,643 mangsa daripada 2,913 keluarga membabitkan tujuh daerah setakat 12 tengah hari tadi, menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu. - Bernama