Naik lori, jengkaut redah banjir ke hospital


Jengkaut turut digunakan untuk membawa kakitangan Hospital Hulu Terengganu.
Jengkaut turut digunakan untuk membawa kakitangan Hospital Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Orang ramai terutama kakitangan di Hospital Hulu Terengganu terpaksa diangkut menggunakan lori selepas laluan ke hospital berkenaan ditenggelami air sejak pagi tadi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kenderaan berat termasuk lori Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta jengkaut disediakan untuk membawa orang ramai dari Jalan Kuala Berang ke hospital susulan banjir melanda kawasan tersebut.

Ahmad Safwan
Ahmad Safwan

Pegawai Sains Hospital Hulu Terengganu, Ahmad Safwan Adang, 38, berkata, air mula naik sejak jam 6 pagi tadi sekali gus agak berbahaya jika diredah dengan kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.

"Pengarah hospital sudah arahkan kakitangan untuk menaiki kenderaan berat disediakan. Jadi staf kena naik lori bagi redah banjir.

"Kami sudah biasa dengan keadaan di sini kerana setiap tahun kawasan ini akan ditenggelami air. Kenderaan ringan memang tak boleh lalu, terpaksa naik lori ke tempat kerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Ahmad Rapi
Ahmad Rapi

Seorang lagi kakitangan Hospital Hulu Terengganu, Ahmad Rapi Hashim, 45, berkata, kemudahan lori dan jengkaut disediakan memudahkan urusan kakitangan ke tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan sahaja membantu staf hospital malah memudahkan urusan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

"Hujan berterusan menyebabkan air di laluan ini naik sehingga paras lutut. Jadi orang ramai yang nak redah laluan ini diminta berhati-hati dan naik kenderaan berat disediakan," ujarnya.


Orang ramai menaiki lori yang disediakan.
Orang ramai menaiki lori yang disediakan.

Sementara itu, staf Hospital Hulu Terengganu, Zuraya Majid, 49, berkata, dia terpaksa meletakkan kereta di kawasan lebih tinggi dan jauh sebelum menggunakan lori disediakan.

"Kereta terpaksa tinggalkan dan kena naik lori. Nak buat macam mana...tetap bertugas walau apa keadaan yang berlaku.

Lori ATM membawa orang ramai meredah banjir.
Lori ATM membawa orang ramai meredah banjir.

"Rasa risau juga dengan keadaan kereta ditinggalkan sebab takut air naik tapi saya dah letak di kawasan lebih tinggi. Harap semuanya berada dalam keadaan selamat," katanya.