GPS belum beri 'lampu hijau' untuk ahli PSB sertai PDP

Abang Johari - Foto Bernama
Abang Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memberikan 'lampu hijau' atau kebenaran kepada ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Progresif Demokratik (PDP), sebagai antara komponen gabungan politik itu.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, belum ada sebarang mesyuarat gabungan politik itu bagi membincangkan isu ahli PSB menyertai PDP selepas pembubaran PSB yang dirancang dilakukan sebelum perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

"Lampu hijau daripada ROS (Pendaftar Pertubuhan) kah (bagi pembubaran PSB dan ahlinya menyertai PDP)... Saya tidak tahu. Tidak (ada persetujuan rasmi lagi dalam GPS), kami belum ada mesyuarat dalam GPS (untuk membincangkan isu itu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Krismas anjuran Biskop Anglikan Kuching Datuk Danald Jute di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengulas pengumuman PSB akan dibubar sebelum perayaan Tahun Baharu Cina akan datang manakala kira-kira 80,000 ahlinya akan menyertai PDP.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden I PSB, Dr Johnical Rayong Ngipa pada sambutan pra-Krismas PDP dan Tahun Baharu 2024 di Sibu malam tadi.

Menurut Dr Rayong, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Presiden parti berkenaan Datuk Seri Wong Soon Koh dan mereka akan merujuk kepada ROS berkaitan prosedur pembubaran itu.

Beliau berkata, PSB akan memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membubarkan parti itu manakala PDP pula dijangka mengadakan EGM untuk menerima bekas ahli PSB.

Artikel Berkaitan:

"Kami merancang untuk membubarkan PSB bagi membolehkan kami berada di bawah naungan PDP dan sebahagian daripada GPS," katanya.

Semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak pada 2021, PSB bertanding sebagai pembangkang dan hanya memenangi empat daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Selain PBB dan PDP, GPS yang memenangi pilihan raya itu dengan meraih 76 kerusi, turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta Parti Rakyat Sarawak (PRS). - Bernama