Banjir: Tiga pengamal media terkandas di Kuala Betis

Sebahagian kenderaan yang melalui jalan Lojing - Pos Blau - Kuala Betis, terkandas apabila air melimpah di atas jalan ekoran hujan lebat ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama
Sebahagian kenderaan yang melalui jalan Lojing - Pos Blau - Kuala Betis, terkandas apabila air melimpah di atas jalan ekoran hujan lebat ketika tinjauan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Wartawan sambilan Bernama di jajahan Gua Musang antara tiga pengamal media yang terkandas ketika membuat tinjauan banjir di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini pada Isnin.

Siti Maisarah Ahmad, 36, berkata, beliau bersama wartawan Kosmo!, Aimuni Tuan Lah, 34, dan Paya Linda Yahya, 37, dari Berita Harian tiba di lokasi itu pada 9.54 pagi untuk membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis yang menempatkan mangsa banjir sejak semalam.

"Kami datang menaiki kereta dan ketika itu, kenderaan masih boleh menggunakan Jalan Kuala Betis malah air tidak mencecah jalan raya lagi namun sekitar 10.15 pagi, air naik mendadak susulan berlaku limpahan di Sungai Kuala Betis yang menenggelamkan sebahagian jalan dan jambatan sungai itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata berikutan itu, mereka terkandas di lokasi berkenaan sejak 11 pagi tadi.

"Difahamkan kami akan dibawa keluar menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Gua Musang selepas selesai operasi pemindahan mangsa yang terjejas di kawasan sekitar yang dijangka berakhir pada 4 petang," katanya.

Siti Maisarah juga berkata, kenderaan yang dinaiki terpaksa ditinggalkan buat sementara sehingga air surut dan jalan selamat untuk dilalui. - Bernama

Artikel Berkaitan: