Jalan Lojing-Gua Musang di Pos Blau ditutup

Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Pos Blau, Gua Musang kembali ditutup kepada semua kenderaan pada Isnin. - Foto Facebook Roadcare Gua Musang
Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Pos Blau, Gua Musang kembali ditutup kepada semua kenderaan pada Isnin. - Foto Facebook Roadcare Gua Musang
A
A
A

GUA MUSANG - Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Pos Blau di sini ditutup semula kepada semua kenderaan pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penutupan laluan itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook.

"Saya berharap pengguna di laluan itu supaya lebih peka dengan situasi terkini banjir yang sedang melanda," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, JKR dan Roadcare (M) Sdn Bhd diminta supaya mengemas kini maklumat laluan berkenaan untuk memudahkan pengguna.

Terdahulu, menerusi laman Facebook Roadcare Gua Musang memaklumkan mengenai penutupan laluan itu kepada semua kenderaan pada jam 1.30 petang Ahad, namun dibuka semula pada jam 6.30 petang hari sama berikutan air surut.

Media tempatan pada Ahad melaporkan, lebih 300 pengguna Jalan Gua Musang-Lojing di Pos Blau, terkandas lebih enam jam selepas laluan berkenaan dilimpahi air sungai susulan hujan lebat.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, ia melibatkan pengguna kenderaan yang mahu ke Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.

Artikel Berkaitan: