Jual ikan selayang RM1 sekilogram, bantu penduduk hadapi MTL

Zuhairi menyediakan lebih 10 tan bekalan hasil laut yang diperoleh dari Tok Bali dan Pasir Puteh, Kelantan; Besut, Terengganu; Kuantan, Pahang; Perak dan Thailand. - Foto Bernama
Zuhairi menyediakan lebih 10 tan bekalan hasil laut yang diperoleh dari Tok Bali dan Pasir Puteh, Kelantan; Besut, Terengganu; Kuantan, Pahang; Perak dan Thailand. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang peniaga membuat tindakan berani untuk menjual pelbagai hasil laut seperti ikan, sotong, udang dan kerang pada harga murah bagi membantu penduduk di daerah itu mendapatkan bekalan dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Zuhairi Hashim, 34, berkata, beliau menyediakan lebih 10 tan bekalan hasil laut yang diperoleh dari Tok Bali dan Pasir Puteh, Kelantan; Besut, Terengganu; Kuantan, Pahang; Perak dan Thailand tidak terjejas walaupun dalam musim tengkujuh.

"Pada hari biasa kami menjual lebih 20 jenis ikan harga bawah RM10. Dalam minggu ini sahaja kami telah menjual lebih 2,000 kilogram (kg) ikan selayang pada harga RM1 sekilogram selama dua hari bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan.

"Pada hari-hari tertentu saya juga mengadakan jualan jimat dengan menjual ikan kerisi RM10 bagi dua kilogram, ikan siakap RM10 seekor, ikan cencaru dan ikan lolong pada harga RM8 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Utama, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Zuhairi berkata, jualan itu merupakan usahanya membantu masyarakat sekitar yang kebanyakannya terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh kerana tidak dapat keluar menoreh getah dan tidak ke kebun kerana ancaman binatang buas.

Beliau yang menggunakan platform media sosial dalam menguar-uarkan jualan berkata pembeli akan menunggu lebih awal di luar premisnya apabila hari jualan jimat diadakan.

Bagi Ahmad Kamso Abdul Aziz, 37, dari Taman Agropolitan Rantau Manis berkata, beliau akan ke bandar Gua Musang pada hujung minggu untuk mendapatkan bekalan lauk basah yang murah daripada Zuhairi.

"Jarak dari rumah ke sini lebih 20 kilometer (km) sahaja dan saya lebih suka menunggu lebih awal pada jam 7.30 pagi lagi sebelum kedai dibuka pada 9 pagi. Bagi saya semua ini amat berbaloi kerana dapat membeli hasil laut pada harga yang lebih murah, dan saya dapat membeli kerang RM9 sekilogram, ikan selayang RM1 sekilogram, malah udang harimau dijual RM16 sekilogram,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pelanggan Zanzuki Ab Rahman, 45, dari Kampung Star berkata,beliau sanggup menempuh perjalanan kira-kira 30km untuk membeli barangan yang dijual pada harga rendah itu.

Zanzuki yang juga pengikut setia Facebook Zuhairi berkata, menerusi laman sosial itu beliau mendapatkan informasi mengenai jualan jimat yang diadakan peniaga terbabit.

"Pada hari biasa harga yang dijual sudahpun murah. Tetapi saya sentiasa menantikan hari jualan jimat diadakan kerana ingin berjimat sebaik mungkin.

"Jika pada hari jualan jimat saya hanya membelanjakan RM20 untuk seekor ikan siakap, ikan kembung dan ikan selayang. Jika di kedai lain harganya jauh lebih mahal jadi saya berharap Zuhairi dapat sentiasa menjual pada harga murah untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat ketika ini,” katanya. - Bernama