Langkawi catat kutipan e-waste tertinggi

Sharifah Zakiah ( tiga dari kanan) menerima buangan elektrik dan elektronik dari Pulau Langkawi.
Sharifah Zakiah ( tiga dari kanan) menerima buangan elektrik dan elektronik dari Pulau Langkawi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pulau Langkawi mencatatkan kutipan tertinggi iaitu lebih 90 peratus bagi kutipan e-waste (buangan elektrik dan elektronik) sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, jumlah itu bersamaan 22.6 tan daripada jumlah keseluruhan 24 tan.

Katanya, program kutipan e-waste mendapat sambutan baik dari masyarakat setempat, hotel-hotel serta pejabat-pejabat kerajaan.

"Buat masa ini, Pulau Langkawi tidak mempunyai sebarang premis yang dilesenkan oleh JAS untuk kutipan dan pemprosesan buangan terjadual termasuk e-waste.

"Jadi Inisiatif ini dilaksanakan oleh JAS bagi mengelakkan buangan tersebut dibuang merata-rata dan mencemarkan alam sekitar atau dihantar dan diproses di premis-premis hara," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Kakitangan JAS mengangkut buangan elektrik dan elektronik.
Kakitangan JAS mengangkut buangan elektrik dan elektronik.

Menurutnya, JAS Kedah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, terutama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Jabatan Kastam atas kerjasama yang diberikan.

"Semua buangan yang dikutip dibawa ke tanah besar untuk diproses di premis yang dilesenkan oleh JAS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sharifah Zakiah berkata, sebuah premis kitar semula logam di Gurun telah menerima Perintah Berhenti Kerja yang dikeluarkan oleh JAS Ibu Pejabat pada 13 Disember lalu.

"Kilang terbabit sebelum ini pernah diserbu dan dikenakan tindakan Penahanan Peralatan Operasi oleh JAS Kedah.

"Tindakan di bawah Seksyen 34AA(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling(Akta 127), 1974 (Pindaan) 2012 ini di ambil kerana pihak premis telah melanggar syarat-syarat kelulusan Laporan EIA yang telah diberikan sebelum ini," katanya.

Jelasnya, premis itu juga didapati beroperasi tanpa lesen bagi menempatkan dan memproses buangan terjadual.