7,294 kes Covid-19 dicatatkan di Perak sepanjang tahun ini

Sivanesan
Sivanesan
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melaporkan sebanyak 7,294 kes Covid-19 direkodkan di negeri ini sejak 1 Januari hingga 16 Disember lepas berbanding 108,859 kes dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, angka berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 101,565 kes atau 93.3 peratus.

"Sebanyak 53 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Perak bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Disember lepas,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, peratus liputan vaksinasi Covid-19 bagi penduduk negeri ini dari 1 Januari hingga 21 Disember lepas menunjukkan 80.7 peratus individu telah mengambil dos pertama, dos kedua (79.1 peratus), dos penggalak 1 (46.9 peratus) manakala 1.7 peratus bagi dos penggalak 2.

Menurut Sivanesan, JKN Perak akan terus melakukan pemantauan terhadap penularan wabak Covid-19 selain tumpuan diberikan terhadap golongan berisiko seperti warga emas yang menghidap penyakit jantung, diabetis, kanser serta respiratori kronik.

"Pihak JKN juga telah berhubung dan memberi pendidikan kesihatan serta nasihat langkah pencegahan penyakit Covid-19 di pusat-pusat penjagaan warga emas di Perak,” katanya.

Sivanesan sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan amalan kendiri termasuk memakai pelitup muka di tempat awam bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak.

"Pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu yang bergejala, mempunyai penyakit kronik dan sebagainya terutama ketika berada di tempat yang tertutup, sempit dan sesak serta semasa berada dalam pengangkutan awam,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: