Pas gesa Anwar henti naratif beracun DAP

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengawal dan menghentikan ‘naratif beracun’ seperti yang dibawa oleh DAP bagi mengelakkan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, naratif politik yang dibawa oleh veteran DAP didapati tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan sekali gus menimbulkan syak wasangka terhadap dasar serta hala tuju kerajaan.

“Naratif terbaru yang dibawa DAP adalah gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

“Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, Tan perlu lebih peka dan sensitif terhadap pendirian serta dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya.

“Kecuali kenyataan itu juga merupakan suatu sandiwara DAP dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut memegang watak penting,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, akhbar melaporkan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur untuk melestarikan dan memberi pilihan kepada penduduk memilih ahli majlis tempatan.

Sementara itu, Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang turut didakwa mencetuskan kegemparan serupa apabila berucap tentang Perdana Menteri bukan Melayu dan impian sebuah negara hebat berbilang kaum, budaya serta kepercayaan di Manchester, England.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan kenyataan Kok Wai bercanggah dengan penolakan Kit Siang terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian untuk melahirkan Perdana Menteri bukan Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur oleh DAP, maka tidakkah pilihan raya PBT hanya akan menzahirkan citra politik etnik tunggal dari segi perwakilan yang dipilih kelak?” soalnya.

Pada masa sama, Pas turut mendakwa kenyataan kedua-dua mereka bermotifkan pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan negara.

Bukan itu sahaja, Takiyuddin berkata, keterangan itu juga mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua pihak pada agenda dan budaya politik lebih waras, sederhana serta munasabah.

“Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang Melayu terhadap niat sebenar DAP sama ada jujur dalam menjunjung kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan ideologi serta parokialisme,” ujarnya.