Johor aktifkan laluan kontra atasi kesesakan

Laluan kontra akan diaktifkan ketika waktu puncak iaitu apabila ada banyak kenderaan dari Singapura masuk ke Malaysia. Gambar kecil: Mohd Fazli
Laluan kontra akan diaktifkan ketika waktu puncak iaitu apabila ada banyak kenderaan dari Singapura masuk ke Malaysia. Gambar kecil: Mohd Fazli
A
A
A

KULAI - Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk mengaktifkan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dalam usaha menangani kesesakan sempena sempena sambutan Krismas dan tahun baharu nanti.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, pihaknya juga akan membuka kaunter tambahan bagi membantu mengurangkan kesesakan di kedua-dua CIQ BSI, di Johor Bahru dan juga KSAB, di Iskandar Puteri.

“Laluan kontra berkenaan akan diaktifkan ketika waktu puncak iaitu apabila ada banyak kenderaan dari Singapura masuk ke Malaysia, dan jumlah kenderaan yang keluar dari Malaysia adalah sedikit.

“Jadi, secara tidak langsung laluan keluar itu boleh digunakan sebagai laluan kontra dan ini membolehkan kita menampung kemasukan kenderaan yang banyak dari Singapura,” katanya.

Mohd Fazli berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Projek Selekoh ‘S’ di laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam, KM38-40 Kulai, Johor, di sini pada Khamis.

Untuk rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, terdapat sebanyak 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan autogate (40).

Manakala di KSAB pula, terdapat l62 kaunter masuk dan keluar dengan kaunter motosikal (50), kereta (48), bas (52) dan autogate (12).

Baru-baru ini, pihak penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura melaporkan bahawa, pengembara dari republik itu dijangkakan perlu menempuhi kesesakan hampir tiga jam di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, susulan cuti perayaan Krismas dan tahun baharu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Mohd Fazli berkata, beberapa agensi juga akan membantu bagi melancarkan lagi urusan di kesemua kaunter CIQ BSI dan juga di KSAB.

“Beberapa agensi seperti polis, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) juga akan mengawal kesesakan dan melakukan melakukan operasi penguatkuasaan di kawasan tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!