UNSC terus ikut telunjuk AS

Sejak awal minggu lalu, negara anggota UNSC dikatakan bergelut untuk mencapai kesepakatan tentang resolusi tersebut. - Foto Agensi
Sejak awal minggu lalu, negara anggota UNSC dikatakan bergelut untuk mencapai kesepakatan tentang resolusi tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Kredibiliti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terus dipertikaikan pada Rabu selepas ia sekali lagi menangguhkan proses undian resolusi untuk menghentikan perang ganas di Gaza.

Pengerusinya, Jose Javier De La Gasca Lopez-Dominguez memberi alasan kononnya penangguhan itu untuk memberi masa tambahan bagi diplomasi.

"Ia akan dijadualkan semula di ibu pejabat New York pada pagi Khamis," ujarnya.

Sementara itu, sumber diplomatik memaklumkan keputusan untuk menunda proses itu dibuat atas permintaan Amerika Syarikat (AS) yang memegang kuasa veto.

Sejak awal minggu lalu, negara anggota UNSC dikatakan bergelut untuk mencapai kesepakatan tentang resolusi tersebut setelah Israel yang menerima sokongan kuat Washington menolak penggunaan istilah 'gencatan senjata'.

Penganalisis di International Crisis Group, Richard Gowan berkata, semua pihak 'terperangkap' dan menunggu apa yang bakal diputuskan oleh AS.

"Nampaknya diplomat negara 'Uncle Sam' itu juga tidak tahu bagaimana peperangan ini akan berakhir," katanya.

Sementara itu, wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lana Zaki Nusseibeh yang menaja resolusi itu memberitahu, mereka memerlukan sedikit lagi ruang untuk diplomasi tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Kami optimis kandungan resolusi yang menuntut gencatan kemanusiaan segera ini boleh diterima pakai dan akan diundi," jelasnya.

Ketika desakan supaya menghentikan perang ganas itu semakin meningkat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan tiada tempoh bertenang akan dilaksanakan sehingga Hamas bersama sekutunya dihapuskan sepenuhnya.

"Kami tidak akan hentikan operasi selagi objektif utama termasuk pembebasan baki tawanan tidak dicapai," menurutnya. - Agensi