Lebih tumpuan kepada rakyat pada 2020

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan akan memberi lebih tumpuan kepada rakyat pada 2020 dengan memastikan inisiatif seperti #MalaysiaKerja dan e-dompet berjalan lancar.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kementerian tersebut akan memberi penekanan untuk melaksanakan inisiatif tersebut dengan lebih baik.

"Apa yang kita perlu tumpukan adalah kita kena dengar suara rakyat, buat kerja (untuk) rakyat, berikan harapan baharu kepada rakyat supaya kita tubuhkan Malaysia baharu yang dimiliki oleh semua khususnya dari aspek kemakmuran yang dapat dikongsikan bersama," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.

Inisiatif #MalaysiaKerja diperkenalkan pada November tahun ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada belia serta wanita dan akan dilaksanakan mulai Jun 2020.

Bagi inisiatif ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipertanggungjawabkan untuk menguruskan agihan peruntukan sebanyak RM6. 5 bilion bagi menjayakan program tersebut.

Sementara itu, antara pencapaian utama Kementerian Kewangan pada 2019 adalah peruntukan Bantuan Sara Hidup sebanyak RM4.2 bilion untuk dimanfaatkan oleh 3.9 juta isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta had paras runcit produk petrol RON95 dikurangkan kepada RM2.08 seliter daripada RM2.20 seliter.

Guan Eng berkata, pada 2019 sebanyak RM22.3 bilion subsidi dan bantuan untuk kebajikan rakyat telah disalurkan dan akan dinaikkan kepada RM24.2 bilion pada 2020.

Sementara itu, subsidi petrol kepada pengguna mencecah RM6 bilion bagi tempoh 11 bulan pertama 2019.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kewangan juga telah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan Cukai Jualan Dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada September 2018 untuk mengurangkan beban rakyat.

Guan Eng berkata, kerajaan memulangkan sebanyak RM19.4 bilion bayaran balik GST yang tidak dikembalikan lebih dua tahun.

"Rakyat membayar kurang cukai sebanyak RM10 bilion selepas pemansuhan GST dan mengawal inflasi kepada 1.0 peratus berbanding dengan 3.7 peratus sebelum ini," katanya.

Mengenai penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP), Guanm Eng berkata, sesi penerangan dan penjelasan mengenai program tersebut perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan reaksi negatif daripada rakyat.

"Kerajaan ingin membantu rakyat khususnya golongan B40 dan juga mengurangkan ketirisan,” katanya.

Pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 telah ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kerajaan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada. - Bernama