Kes bakar teman wanita hamil dibenar pindah ke Mahkamah Tinggi

Muhammad Fakrul Aiman (tengah) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
Muhammad Fakrul Aiman (tengah) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, menetapkan 1 Februari tahun depan bagi sebutan izin pendakwaan memindahkan kes seorang lelaki didakwa membunuh kekasih hamil empat bulan pada Mei lalu ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri yang memohon pemindahan berkenaan.

Muhammad Afiq berkata, pihaknya sudah menerima semua laporan dan dokumen mengenai kes berkenaan.

"Saya memohon izin tempoh dua bulan bagi menelitinya terlebih dahulu sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Nor Tamrin menyatakan beliau tidak membuat bantahan mengenai perkara tersebut.

Dokumen oleh pihak pendakwaan itu melibatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, berbaju T putih tiba dengan trak polis di mahkamah itu kira-kira jam 10.30 pagi Khamis.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira jam 8.30 malam 22 Mei sehingga jam 8 pagi 23 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak kejam dengan membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini.

Mangsa dibunuh kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi, 23 Mei lalu.