Terima suapan RM500, pegawai maritim didenda RM7,000

Tertuduh dikenakan denda RM7,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan berjumlah RM500.
Tertuduh dikenakan denda RM7,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan berjumlah RM500.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dikenakan denda RM7,000 selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menerima suapan bernilai RM500 pada 2017.

Tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah, 48, yang berpangkat Bintara Muda Maritim Gred T6 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzil didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Bintara Muda Maritim Gred T6, yang bertugas di Maritim Malaysia Pulau Pinang telah menerima untuk dirinya sendiri suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang berjumlah RM500 daripada pemilik syarikat perniagaan melalui pindahan wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh.

Syarikat perniagaan tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh dan oleh demikian, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 April 2017 di Maybank Wisma Jelutong, George Town.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, SP Raman.

Dalam rayuannya, Raman memohon mahkamah memberi hukuman ringan terhadap anak guamnya berikutan dia mempunyai seorang isteri dan enam anak yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang sudah berusia.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya juga menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Selain itu, selepas representasi, anak guam saya telah mengaku bersalah yang mana, pengakuan ini harus diambil kira sebagai faktor mitigasi.

"Ini menjimatkan masa mahkamah, memudahkan kerja pendakwa raya serta menjimatkan kos pendakwaan.

"Tertuduh juga memberi kerjasama sejak dia ditangkap selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

"Anak guam saya telah sedar dan menyesal dengan perbuatannya," katanya.

Bagaimanapun, Afiqa LIyana memohon mahkamah mempertimbangkan tiga elemen sebelum menjatuhkan hukuman iaitu kepentingan awam, keseriusan kesalahan dan hukuman pencegahan kesalahan

"Saya mohon mahkamah mempertimbangkan keseriusan kesalahan tertuduh yang mana ia melibatkan kerugian dari segi wang tunai.

"Selain itu, tertuduh merupakan pegawai awam dan ejen kerajaan.

"Hukuman yang dikenakan perlu bersifat pencegahan dan juga sebagai peringatkan kepada tertuduh selain sebagai amaran kepada penjawat awam lain agar tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Dalam pada itu, Zulhazmi turut memerintah tertuduh dilepas dan tanpa dibebaskan terhadap empat lagi pertuduhan menerima wang yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.