Landasan terbaik menuju Oman

Mirnawan (belakang, tengah) memantau skuad Speedy Tigers dalam aksi pemanas badan di Auckland, New Zealand baru-baru ini.
Mirnawan (belakang, tengah) memantau skuad Speedy Tigers dalam aksi pemanas badan di Auckland, New Zealand baru-baru ini.
A
A
A

SKUAD hoki Malaysia memperoleh pengalaman berguna menerusi aksi pemanas badan di Auckland, New Zealand selama seminggu berakhir Ahad lalu.

Siri jelajah tersebut penting buat barisan kejurulatihan untuk menilai prestasi sebenar skuad Speedy Tigers menjelang pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Muscat, Oman pada Januari depan.

Pengurusnya, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, selepas Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Oktober, lima aksi persahabatan menentang New Zealand dan Korea Selatan 'membuka mata' pasukan untuk meningkatkan lagi keupayaan daripada segenap sudut.

Beliau berkata, menerusi perlawanan tersebut meletakkan The Speedy Tigers di landasan terbaik untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Banyak pengalaman yang pasukan timba selepas mengharungi lima perlawanan di Auckland. Apapun setakat ini pasukan di landasan yang tetap.

“Para pemain memperoleh perlawanan kompetitif antarabangsa. Memperkemaskan struktur, konsep dan falsafah pasukan serta memberikan peluang kepada jurulatih menilai prestasi pemain di beberapa posisi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dalam aksi persahabatan itu, nasib tidak memihak skuad Speedy Tigers apabila tewas tiga kali kepada New Zealand menerusi keputusan 2-3, 0-2 dan 0-3 serta seri 4-4.

Skuad negara yang dibimbing Arul Selvaraj turut menentang Korea Selatan dengan kemenangan memihak Speedy Tigers 2-1.

Artikel Berkaitan:

Pada pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2024, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China,

Mirnawan menjelaskan, perlawanan pemanas badan itu juga dapat membentuk semangat berpasukan dalam kalangan pemain selain moral mereka berada pada tahap terbaik.

“Aksi persahabatan itu dapat memupuk semangat dan moral pasukan. Sudah pasti azam tahun 2024 adalah layak ke Paris,” katanya.

Malah beliau sedar kejohanan di Oman bukan tugas mudah, namun tumpuan perlu diberikan di peringkat kumpulan terlebih dahulu dalam misi untuk layak ke separuh akhir.

“Atas kertas saya letakkan Great Britain sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara kumpulan, tetapi ancaman Pakistan sebagai underdog tidak boleh di pandang ringan kerana ia sebuah pasukan yang sukar dijangka,” ujar Mirnawan.

Sebagai rekod, hanya tiga pasukan terbaik pada pusingan Kelayakan Olimpik itu termasuk wakil dalam Kumpulan B - Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile akan memperoleh tiket ke Paris.