Skuad Asia: Speedy Tigers belasah Oman 11-1

Speedy Tigers
Speedy Tigers
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara meneruskan rentak kemenangan dalam misi memburu pingat emas sulung di Sukan Asia, dengan membelasah Oman 11-1 di Stadium Taman Sukan Gonshu Canal, hari ini.

Penyerang Mohd Ashran Hamsani, 28, turut mencetak nama sebagai wira hatrik pada perlawanan kedua Kumpulan B itu.

Pada aksi hari ini, Malaysia yang berada di ranking ke-10 dunia, tidak menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ketiga.

Pakar pukulan sudut itu, kemudian menggandakan jaringan selepas melengkapkan pukulan penalti pada minit ke-11, manakala jaringan gol padang Mohd Ashran pada minit ke-14 dan Shello Silverius pada minit ke-18 meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 4-0.

Skuad Speedy Tigers yang terus menguasai aksi bagaimanapun tidak dapat menghalang gawang negara daripada dibolosi apabila Fahad Al Lawati menjaringkan gol pada minit ke-23, selepas Azrai Aizad Abu Kamal dihantar ke sin bin akibat dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain lawan.

Percubaan Oman, yang menduduki ranking ke-29 dunia, seolah-olah menjolok sarang tebuan apabila skuad kendalian A. Arulselvaraj tampil lebih garang untuk meledak jaringan menerusi Faizal Saari (minit ke-26), Azrai Aizad (29) dan Mohd Ashran (30) untuk mendahului 7-1.

Bersambung suku ketiga, skuad Speedy Tigers tanpa belas kasihan, terus menambah derita buat Oman menerusi jaringan Najmi Farizal Jazlan (34), Mohd Ashran (35), Azrai Aizad (36) dan Faizal (39), dengan tiada sebarang jaringan dilakukan pada suku terakhir.

Ia merupakan kemenangan terbesar Malaysia ke atas Oman dalam lapan pertemuan sejak 2013, dengan skuad Speedy Tigers pernah mencatatkan kemenangan 7-0 masing-masing pada Piala Asia 2022, Sukan Asia 2018 dan pusingan kedua Liga Hoki Dunia 2014/15. - Bernama

Artikel Berkaitan:

AKAN MENYUSUL